
ATLANTA: Persatuan Bola Sepak Mesir menggesa FIFA menggantung pasukan pengadil yang mengendalikan perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Argentina selepas mendakwa beberapa keputusan kontroversi menafikan peluang mereka mara ke suku akhir.
Presiden Persatuan Bola Sepak Mesir, Hany Abo Rida berkata beliau telah mengemukakan aduan kepada FIFA terhadap pengadil dari Perancis, Francois Letexier, serta pembantunya, selain menuntut siasatan dijalankan terhadap pegawai perlawanan berkenaan.
Beliau turut menggesa agar pasukan pengadil itu tidak lagi ditugaskan sepanjang baki kejohanan.
Dalam aksi itu, juara dunia Argentina bangkit daripada ketinggalan 2-0 selepas minit ke-79 untuk mencatat kemenangan dramatik 3-2. Bagaimanapun, Mesir berpendapat mereka sepatutnya mendahului 3-0 selepas jaringan Zico dibatalkan hasil semakan video atas alasan berlaku kekasaran kecil.
The Pharaohs turut mendakwa mereka sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti sejurus sebelum Enzo Fernandez menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.
Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, sebelum ini turut meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan sejurus tamat perlawanan.
“Kami dilayan secara tidak adil dan ini merupakan satu ketidakadilan,” katanya. “Mungkin mereka mahu memastikan juara dunia itu terus kekal dalam kejohanan. Mungkin mereka mahu Lionel Messi terus bersaing.”
Hassan turut mengumumkan beliau akan memboikot baki saingan Piala Dunia sebaik pulang ke Kaherah.
“Saya berjanji kepada anda: sebaik sahaja saya pulang, saya tidak akan lagi mengikuti sebarang perlawanan dalam Piala Dunia ini,” katanya. “Itulah perjuangan dalaman saya, bantahan peribadi saya dan cara saya menyuarakan bantahan serta menentang apa yang berlaku.”
Sementara itu, bekas pengadil Bundesliga, Patrick Ittrich, berpandangan Mesir sepatutnya diberikan sepakan penalti ketika kedudukan terikat 2-2 selepas Mohamed Salah dijatuhkan oleh Alexis Mac Allister.
“Bagi saya dan saya cukup yakin mengenai perkara ini, ia sememangnya satu penalti. Dia tidak melakukan apa-apa selain menarik jersi pemain lawan. Tindakan itu jelas bertujuan menghalang pemain itu daripada berpeluang mendapatkan semula bola,” katanya kepada MagentaTV.
Bagaimanapun, Pengadil Bantuan Video (VAR) tidak mencadangkan semakan kepada pengadil. — AlHijrah Online