
KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini belum menemukan sebarang unsur jenayah membabitkan rasuah atau penyelewengan dalam siasatan berkaitan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bernilai RM163.4 juta dalam syarikat akuakultur Indonesia, eFishery.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan menyeluruh hanya dapat dimuktamadkan selepas pihaknya memperoleh maklumat dan dokumen kewangan daripada institusi perbankan di luar negara, termasuk Singapura dan Indonesia.
“Sehingga hari ini sebanyak 19 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan dan dirakamkan keterangan mereka. Mereka terdiri daripada pegawai daripada KWAP, Kementerian Kewangan Malaysia dan juga Khazanah.
“Di dalam menjalankan penyiasatan kes ini, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan kerana kami mendapati belum ada keperluan melakukan tangkapan. Namun begitu, proses penyiasatan masih lagi berjalan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pasukan penyiasat kini giat mendapatkan keterangan daripada beberapa saksi yang dikenal pasti berada di luar negara.
“Setakat ini boleh dikatakan penyiasatan di peringkat domestik hampir selesai, cuma kami menunggu prosedur bagi mendapatkan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) daripada beberapa negara luar.
“Proses itu tidak menghadapi apa-apa masalah, cuma ia mungkin mengambil masa kerana beberapa prosedur perlu dipatuhi,” katanya. — AlHijrah Online.