
Gambar ARKIB
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, esok.
Memetik laporan media tempatan, sumber memaklumkan Shuhaily akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada 28 September lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan kes itu kepada polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, AGC meminta beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap kertas siasatan itu sebelum memutuskan tindakan lanjut.
“Polis masih melengkapkan siasatan. AGC memaklumkan ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan terhadap kertas siasatan itu.
“Kertas siasatan itu mengandungi kenyataan yang dirakam daripada saksi dan semua maklumat yang dikumpulkan sepanjang siasatan sebelum diserahkan kepada AGC.
“AGC perlu berpuas hati sepenuhnya dengan hasil siasatan sebelum membuat keputusan. Biasanya jika tidak berpuas hati, AGC akan memulangkan kertas siasatan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Saifuddin berkata, polis sudah diarah melengkapkan siasatan mengikut keperluan ditetapkan AGC.—AlHijrah Online