
Sumber Gambar: BERNAMA
PULAU PINANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mempertingkat kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara bagi memenuhi keperluan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya ketika musim tengkujuh.
Ketua Pengarah JKM Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata penambahbaikan termasuk penyediaan ruang khas untuk OKU penglihatan serta jurubahasa bagi mereka yang mempunyai masalah pendengaran.
“Golongan OKU juga minta supaya hak mereka diberi perhatian di PPS. OKU ini banyak kategori, ada penglihatan dan ada pendengaran. Bagi kategori pendengaran, mereka minta jurubahasa manakala kategori penglihatan mahu ruang untuk mereka.
“Itu yang kami beri perhatian. Sebab itu saya katakan dari segi persiapan, JKM sentiasa menambah baik. Apa sahaja keperluan untuk semua golongan ini, termasuk bagi mereka yang sakit terlantar dan sebagainya, supaya kebajikan mereka terjaga,” katanya.
Beliau berkata JKM turut memastikan bekalan di depoh bencana mencukupi untuk keperluan mangsa selama tiga hingga empat hari sementara menunggu bantuan tambahan daripada agensi berkaitan.
Menurutnya, sebanyak 9,000 PPS telah dikenal pasti di seluruh negara, manakala 6,000 sukarelawan JKM diberikan latihan amal bagi membantu ketika bencana.
Che Murad berkata latihan simulasi pengurusan PPS yang dijalankan setiap tahun turut membantu memastikan agensi berkaitan bersedia menghadapi kemungkinan bencana.
Tambahnya, JKM sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia dengan memberi perhatian kepada negeri yang berisiko banjir, terutama Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor.
Dalam pada itu, JKM bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam pengurusan pusat pemindahan kekal, dengan 18 pusat berkenaan kini dikendalikan NADMA bersama JKM.
Orang ramai turut digalakkan untuk mememuat turun aplikasi MyBIJKM bagi merekodkan maklumat isi rumah lebih awal, termasuk status OKU, warga emas dan individu yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, rekod awal itu membolehkan bantuan disediakan dengan lebih cepat dan bersasar sekiranya berlaku bencana. — AlHijrah Online.