
Sumber Gambar: BERNAMA
BANGI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyasarkan semua masjid di negeri itu menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital dalam pengurusan masing-masing berbanding kira-kira 30 peratus yang telah mengamalkannya ketika ini.
Setiausaha MAIS Dr Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang berusaha memperkenalkan sistem kewangan digital di masjid bagi memastikan pengurusan kewangan lebih teratur dan proses pembukuan lebih telus.
Menurutnya, penggunaan sistem digital itu turut memudahkan penyimpanan serta dokumentasi rekod kewangan untuk tujuan audit.
Beliau berkata terdapat masjid yang mengambil inisiatif sendiri untuk mendigitalkan data kariah bagi memudahkan pelbagai urusan, termasuk ketika bancian yang dijalankan pihak zakat.
“Memanglah disasarkan 100 peratus tetapi penambahan-penambahan amalan ini tertakluk kepada ketersediaan masjid (untuk menerima pakai teknologi).
“Ada yang mempunyai sistem atau keperluan asas sedia ada di masjid tu, mungkin cepatlah. Contohnya mungkin dapat dilaksanakan lebih cepat di kawasan-kawasan bandar yang mempunyai kelengkapan yang lebih berbanding dengan kawasan luar bandar,” katanya.
Mohd Sabirin berkata MAIS turut menyediakan kursus pengurusan kewangan dan pembukuan secara digital secara percuma kepada pihak pengurusan masjid secara berkala mengikut daerah.
Tambah beliau, AI juga mula digunakan dalam operasi harian MAIS, khususnya bagi menyeragamkan kaedah pelaporan serta meringkaskan maklumat yang sebelum ini disediakan menggunakan kaedah tradisional.
Ujarnya, langkah itu merupakan sebahagian usaha MAIS memperluas penggunaan teknologi dalam pengurusan institusi agama supaya urusan pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan. — AlHijrah Online.