
KULIM: Seorang wanita berusia 39 tahun maut selepas ditikam 13 kali oleh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram, dipercayai berpunca daripada pertengkaran akibat cemburu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Syamsul Sinring berkata, mangsa dibawa keluarganya ke Hospital Kulim sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.30 malam.
Menurutnya, suspek berusia 43 tahun yang merupakan penganggur hadir ke Balai Polis Lunas semalam jam 8.40 malam dan memaklumkan telah menikam isterinya sebanyak 13 kali.
“Suaminya berusia 43 tahun yang merupakan penganggur, hadir ke Balai Polis Lunas pada 8.40 malam tadi dan memaklumkan dia telah menikam isterinya sebanyak 13 kali di rumah mereka.
“Suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” ujarnya.
Siasatan mendapati tujuh tikaman terkena dada, lima pada perut dan satu pada rusuk kanan mangsa menggunakan pisau lipat berukuran 20 sentimeter (cm).
Selepas kejadian, suspek dikatakan mandi sebelum mengambil anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun daripada pengasuh dan menyerahkannya kepada kakaknya di kawasan rehat dan rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, D. Kodimalar, 42 tahun, berkata mangsa S. Sila, 39 tahun, tidak pernah menceritakan sebarang masalah rumah tangga sepanjang lima tahun berkahwin.
“Kami sendiri tidak tahu jika mereka ada krisis kerana mereka nampak bahagia. Dia tidak pernah beritahu keluarga apa-apa.
“Kalau dia ada bercerita dari awal, sudah tentu kami boleh tampil berikan bantuan dan menyelamatkannya daripada kejadian itu,” katanya.
Kodimalar berkata keluarga menemui mangsa tidak sedarkan diri di atas katil selepas terpaksa memecahkan pintu rumah kira-kira 8.30 malam sebelum membawanya ke hospital.
“Doktor maklumkan walaupun nadinya masih ada ketika dibawa ke unit kecemasan, fungsi jantungnya sudah terhenti. Pihak hospital cuba memberikan bantuan pernafasan dan darah, namun dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.”
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat, manakala suspek ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. –AlHijrah Online.