
ALOR GAJAH: Polis mengesahkan tulang yang ditemukan dalam sebuah tong berhampiran kawasan rizab Empangan Durian Tunggal, Machap, Ahad lalu, merupakan tulang manusia.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kes itu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, tiada perkembangan lanjut. Tulang yang dijumpai telah disahkan merupakan tulang manusia dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Buat masa ini, kita masih belum dapat mengesahkan jantina mangsa dan proses bedah siasat bersambung hari ini bagi mengenal pasti identiti dan jantina mangsa,” katanya.
Beliau berkata, selain rangka berkenaan, polis turut menemukan kain pelekat berwarna biru, kemeja-T dan seluar pendek.
Dalam kejadian itu, tong berwarna biru yang dipercayai mengandungi rangka manusia ditemukan tiga individu berusia antara 25 hingga 35 tahun ketika memancing di kolam takungan berkenaan kira-kira 11.40 pagi. — AlHijrah Online.