Connect with us

ALHIJRAH NEWS

POLIS MUSNAHKAN KOTAK MISTERI DISYAKI BERISI BOM

DALAM NEGARA

POLIS MUSNAHKAN KOTAK MISTERI DISYAKI BERISI BOM

Sebuah kotak plastik mencurigakan disyaki berisi ‘bahan radioaktif’ ditemui di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling.

KUALA LUMPUR: Polis memusnahkan sebuah kotak plastik mencurigakan yang ditemui di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling, tengah hari tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 33 tahun pada 12.57 tengah hari sebelum pemeriksaan awal mendapati kotak berkenaan mempunyai bacaan radiasi agak tinggi.

Berikutan penemuan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Unit Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRE) Bukit Aman serta Agensi Nuklear Malaysia dihantar ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

“UPB menggunakan peralatan Recoilless Disruptor 5.0 untuk memusnahkan kotak itu,” katanya.

Fadil berkata, pemeriksaan lanjut Jabatan Tenaga Atom kemudian mengesahkan tiada bacaan radioaktif dikesan di lokasi kejadian.

Tambahnya, UPB kemudiannya menggunakan Recoilless Disruptor 5.0 bagi memusnahkan objek yang disyaki tersebut.

“Hasil tindakan mendapati terdapat beberapa kotak yang disyaki mengandungi barangan berbentuk blok binaan (Lego) berwarna-warni di dalam kotak berkenaan yang telah berjaya dimusnahkan,” ujarnya.

Sebelum ini, penemuan kotak plastik mencurigakan dengan bacaan radiasi tinggi menyebabkan orang ramai di sekitar Sri Petaling gempar.

Beberapa foto dan video kejadian turut tersebar di media sosial, antaranya memaparkan kawasan komersial Sri Petaling yang ditutup dengan pita polis.

Rakaman berkenaan turut menunjukkan kehadiran kenderaan polis dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, manakala orang awam melihat operasi dari luar kawasan yang ditutup, selain mendakwa kejadian itu berkaitan ancaman bom.

Menurut Fadil, siasatan berhubung kejadian itu dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh mencetuskan kegusaran serta menjejaskan ketenteraman awam.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999, Hotline Polis Brickfields di 03-22979222 atau balai polis berhampiran. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading