
Sumber: AFP
COTABATO: Pengundi di wilayah autonomi Islam Filipina mula membuang undi untuk pemilihan parlimen pertama mereka pada pagi Isnin, beberapa jam selepas insiden tembakan meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa di luar sebuah pusat pengundian.
Pilihan raya ini merupakan kemuncak kepada proses damai yang bermula pada akhir 1990-an dan telah menubuhkan Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) di selatan negara itu.
Lebih dua juta pengundi berdaftar layak untuk memilih wakil bagi 80 kerusi parlimen yang dipertandingkan oleh 13 buah parti, dengan pegawai pilihan raya menjangkakan peratusan keluar mengundi yang tinggi.
Di Marawi, wartawan AFP melihat barisan panjang pengundi beratur secara aman di luar pusat pengundian dengan dikawal ketat oleh kenderaan perisai dan anggota keselamatan.
Seorang pengundi berusia 18 tahun, Mohammad Actar Macabada memberitahu AFP bahawa dia berasa teruja dan tiba seawal pagi untuk membuang undi, meskipun wujud rasa gementar akan kemungkinan berlakunya kekacauan berbanding situasi aman ketika ini.
Di ibu kota wilayah Cotabato, penuntut kejuruteraan Mark Martirez, 22, meluahkan harapan agar pemimpin yang bakal dipilih tidak mempersia-siakan undi rakyat, di samping menyuarakan kebimbangan terhadap tahap keselamatan walaupun mengakui perkembangan infrastruktur yang pesat di BARMM.
Memandangkan wilayah itu mempunyai sejarah panjang keganasan politik dan persengketaan berdarah antara keluarga berpengaruh yang dikenali sebagai “rido”, satu pilihan raya yang aman akan dianggap sebagai satu kejayaan besar.
Namun, keharmonian itu terjejas pada awal pagi Isnin apabila insiden berbalas tembakan meletus di luar sebuah pusat pengundian di sebuah sekolah di Cotabato sebelum proses pengundian bermula, mengorbankan tiga individu dan mencederakan 15 yang lain.
Ketua Polis, Jibin Bongcayao berkata kejadian tembakan itu berlaku sejurus sebelum tengah malam akibat perebutan tempat dalam barisan antara dua kumpulan saingan.
Menurutnya, individu yang terlibat adalah ahli parti yang berpecah daripada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), sebuah kumpulan yang pernah menghabiskan masa berdekad lamanya menentang kerajaan di Manila bagi menuntut autonomi wilayah.
Dalam insiden berasingan di sebuah lagi pusat pengundian, empat individu termasuk seorang pegawai polis dilaporkan cedera ditembak sejurus sebelum jam 7.00 pagi.
Selain itu, pihak berkuasa mengesahkan seorang lelaki cedera akibat letupan peranti bahan letupan buatan sendiri (IED) yang dibawanya.
Susulan siri insiden terbabit, Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (COMELEC) pada pagi Isnin memaklumkan akan mengambil alih kawalan langsung ke atas kawasan Cotabato sepanjang tempoh pilihan raya.
Kawalan keselamatan turut dipertingkatkan di seluruh BARMM dengan lebih 20,000 anggota keselamatan ditempatkan di kawasan pengundian berserta pasukan tindak balas pantas bagi menangani sebarang kemungkinan berlakunya keganasan. – Alhijrah Online