Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TV ALHIJRAH PERKASA JENAMA HALAL MENERUSI KEMPEN “GO HALAL” DI MIHAS 2026

DALAM NEGARA

TV ALHIJRAH PERKASA JENAMA HALAL MENERUSI KEMPEN “GO HALAL” DI MIHAS 2026

TV AlHijrah memperkenalkan kempen “Go Halal” sempena MIHAS 2026 bagi membantu usahawan dan pemain industri halal memperkukuh jenama serta meluaskan pasaran menerusi strategi media yang lebih berkesan.

KUALA LUMPUR: TV AlHijrah bakal memperkenalkan kempen khas “Go Halal” sempena penyertaannya di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 yang berlangsung pada 23 hingga 26 September 2026 di MITEC, Kuala Lumpur.

Kempen ini diperkenalkan bagi membantu usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemain industri halal memanfaatkan media secara lebih strategik untuk memperkukuh jenama, meningkatkan keterlihatan dan mendekati pengguna dengan lebih berkesan.

Sepanjang empat hari MIHAS 2026, TV AlHijrah akan menawarkan promosi media khas dan terhad yang merangkumi pengiklanan televisyen, promosi digital, penghasilan kandungan, integrasi program, kandungan berjenama serta aktiviti penglibatan pengguna yang boleh disesuaikan mengikut keperluan dan objektif sesebuah jenama.

Ketua Unit Penjualan Media TV AlHijrah, Hafriz Zulpakar, berkata “Go Halal” diwujudkan kerana ramai usahawan mempunyai produk berkualiti dan berpotensi untuk berkembang, namun masih berdepan cabaran dalam meningkatkan keterlihatan jenama serta membina keyakinan pengguna.

“Produk yang baik perlu disokong oleh strategi komunikasi yang tepat supaya ia bukan sahaja berada di pasaran, tetapi benar-benar dikenali dan dipercayai pengguna. Di sinilah media memainkan peranan yang sangat penting.

“Menerusi ‘Go Halal’, kami mahu membantu usahawan memilih pendekatan media yang sesuai supaya jenama mereka bukan sekadar dilihat, tetapi mampu membina hubungan yang lebih kuat dengan pengguna,” katanya.

Usaha itu disokong oleh ekosistem media TV AlHijrah yang merangkumi televisyen dan platform digital. Berdasarkan data suku kedua 2026, TV AlHijrah merekodkan 7.7 juta audiens televisyen, manakala Berita AlHijrah mempunyai 3.4 juta pengikut di TikTok dan AlHijrah Plus mencatatkan 300,000 pelanggan.

Data sama menunjukkan 61 peratus audiens televisyen TV AlHijrah terdiri daripada wanita, manakala sekitar 40 peratus merupakan golongan profesional, sekali gus memberi peluang kepada jenama untuk berkomunikasi dengan kumpulan pengguna yang relevan menerusi pendekatan yang lebih tersasar.

Menurut Hafriz, perubahan corak penggunaan media hari ini turut menuntut jenama untuk bergerak merentasi lebih daripada satu platform.

“Pengguna mungkin mengenali sesuatu jenama melalui televisyen, melihat kandungannya di media sosial dan kemudian membuat keputusan untuk membeli. Sebab itu jenama hari ini memerlukan strategi yang lebih menyeluruh.

“TV AlHijrah mempunyai kelebihan untuk menggabungkan televisyen, digital dan kandungan dalam satu ekosistem, dan kekuatan itulah yang mahu kami buka kepada lebih ramai pemain industri halal menerusi ‘Go Halal’,” tambah beliau.

Penyertaan TV AlHijrah di MIHAS 2026 hadir ketika industri halal terus menunjukkan potensi pertumbuhan yang kukuh. Sasaran jualan MIHAS 2026 telah dinaikkan daripada RM4.5 bilion kepada RM5 bilion, manakala lebih 500 permohonan daripada pembeli dan pengimport antarabangsa diterima berbanding sasaran awal sebanyak 300 permohonan.

Perkembangan itu membuka ruang yang lebih luas kepada jenama halal Malaysia untuk bukan sahaja memperkukuh kedudukan dalam pasaran domestik, malah membina rangkaian perniagaan dan meneroka peluang di peringkat antarabangsa.

Selari dengan tema “Peluang Tempatan, Kepercayaan Global”, TV AlHijrah melihat media sebagai salah satu pemacu yang boleh membantu jenama berkembang daripada sekadar memiliki produk kepada membina kehadiran, keyakinan dan nilai di mata pengguna.

Sehubungan itu, Hab Media TV AlHijrah akan menjadi ruang pertemuan antara usahawan, jenama dan pasukan media TV AlHijrah sepanjang MIHAS 2026.

Usahawan dan wakil syarikat boleh mendapatkan penerangan mengenai pilihan pengiklanan dan pemasaran, menjalani sesi konsultasi serta berbincang secara langsung mengenai strategi media yang bersesuaian dengan sasaran pasaran, objektif dan bajet masing-masing.

Tawaran promosi “Go Halal” hanya disediakan sepanjang tempoh MIHAS 2026 dan tertakluk kepada terma, syarat serta kekosongan slot.

TV AlHijrah percaya setiap jenama mempunyai keperluan yang berbeza dan tidak semestinya memerlukan kempen berskala besar untuk memberi impak.

“Apa yang lebih penting ialah memilih platform yang betul, mesej yang tepat dan strategi yang sesuai dengan tahap perkembangan sesuatu jenama. Kami mahu MIHAS menjadi ruang untuk usahawan datang berbincang dan melihat sendiri bagaimana media boleh membantu perniagaan mereka berkembang,” ujar beliau ketika ditemui media.

Justeru, usahawan, PKS dan syarikat yang mahu meneroka kekuatan media dalam memperkukuh jenama dijemput bertemu pasukan TV AlHijrah di Hab Media TV AlHijrah sepanjang MIHAS 2026, dari 23 hingga 26 September 2026 di MITEC, Kuala Lumpur.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang https://tvalhijrah.com/gohalal/ . — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading