
HANGZHOU: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kekal dengan pendiriannya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Keputusan sudah dibuat, akan serahkan (surat peletakan jawatan) kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sekembalinya ke tanah air,” katanya ringkas ketika ditemui media sejurus tiba di Hangzhou, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan meneruskan hasrat mengundurkan diri daripada Kabinet.
Loke kini mengiringi Anwar dalam lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou atas jemputan kerajaan China.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Seremban itu mengumumkan hasrat meletakkan jawatan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu.
Bagaimanapun, menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Anwar berharap Loke dapat mempertimbangkan semula keputusannya dan menegaskan tiada pihak perlu menekan DAP supaya keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri turut mengambil pendekatan untuk tidak terburu-buru membuat keputusan berhubung hasrat peletakan jawatan berkenaan. — AlHijrah Online.
Tags: Anthony Loke, Anwar Ibrahim, DAP, Peletakan Jawatan