Connect with us

ALHIJRAH NEWS

TANJONG MALIM BAKAL TERIMA PELABURAN BAHARU DALAM SEKTOR AUTOMOTIF

DALAM NEGARA

TANJONG MALIM BAKAL TERIMA PELABURAN BAHARU DALAM SEKTOR AUTOMOTIF

Perak sedang berbincang dengan beberapa pelabur dalam dan luar negara yang berminat menyertai ekosistem automotif AHTV di Tanjong Malim, dengan kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pelaburan yang sesuai untuk pembangunan jangka panjang kawasan itu.

SUNGAI SIPUT: Perak sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pelabur dalam dan luar negara yang berminat melabur dalam ekosistem automotif di Lembah Berteknologi Tinggi Automotif (AHTV), Tanjong Malim.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan sentiasa mengenal pasti pelabur berpotensi yang mahu meneroka peluang di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata nama syarikat terbabit belum dapat diumumkan kerana terdapat syarikat, khususnya yang tersenarai awam, perlu mematuhi keperluan tertentu sebelum membuat sebarang pengumuman berkaitan pelaburan.

“Memang ada (pelabur). Kami sedang berbincang dan kami akan mengumumkannya nanti apabila mereka masuk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Tomoi Antarabangsa Sungai Siput 2026 di Arena Pavilion Sungai Siput, malam semalam.

Loh berkata, ketersediaan tanah menjadi antara faktor utama yang perlu diberi perhatian dalam menarik pelaburan ke Tanjong Malim, selain memastikan pelabur yang dipilih bersesuaian dengan ekosistem automotif di kawasan itu.

“Kami tidak mengambil langkah untuk penyelesaian jangka pendek sahaja, malah lebih utama ialah penyelesaian jangka panjang.

“Yang kerajaan negeri mahukan di Tanjong Malim ialah mereka yang sesuai dengan ekosistem automotif. Kami tidak mahu mereka datang daripada ekosistem lain yang mungkin tidak sesuai dengan kawasan itu,” katanya.

Mengenai perkembangan BYD Malaysia, Loh berkata syarikat berkenaan telah mengumumkan kerjasama dengan syarikat atau vendor tempatan sedia ada bagi operasi pemasangan kenderaan di negara ini.

Menurutnya, perkembangan itu tidak menjejaskan usaha kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk terus berbincang dengan pelabur lain yang berpotensi menyertai ekosistem automotif Tanjong Malim.

“Bagi negeri Perak, kami mengalu-alukan semua untuk datang tetapi ia juga perlu mengambil kira perancangan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) secara keseluruhan untuk Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Proton sedang giat meningkatkan kapasiti bagi pasaran eksport, selain memperluas aktiviti kenderaan elektrik (EV) untuk pasaran tempatan sebelum dikembangkan ke pasaran eksport. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading