
KUANTAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai terperangkap di ruang tamu dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Kuala Dong, Raub, malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.56 malam.
Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan anggaran kemusnahan kira-kira 80 peratus.
“Dalam kejadian tersebut, seorang warga emas lelaki terperangkap di ruang tamu rumah manakala seorang lagi warga emas wanita berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai maut akibat melecur terkena haba panas.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.13 pagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Sedih apabila dimaklumkan seorang warga emas Allahyarham Abd Hamid Jaafar, 80, telah meninggal dunia dan ditemukan di dalam rumah yang terbakar. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga keluarga diberikan kesabaran serta kekuatan untuk menghadapi ujian yang berat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook. — AlHijrah Online