Connect with us

ALHIJRAH NEWS

28 JASAD RAKYAT PALESTIN DITEMUKAN DI BAWAH RUNTUHAN RUMAH DI GAZA

DUNIA

28 JASAD RAKYAT PALESTIN DITEMUKAN DI BAWAH RUNTUHAN RUMAH DI GAZA

Pertahanan Awam Gaza menemukan jasad 28 rakyat Palestin di bawah runtuhan sebuah rumah yang dimusnahkan tentera Israel pada Oktober 2023, ketika ribuan lagi mangsa dipercayai masih hilang dan tertimbus di wilayah itu.

BANDAR GAZA: Pasukan Pertahanan Awam Gaza menemukan jasad 28 rakyat Palestin di bawah runtuhan sebuah rumah di kejiranan Daraj, Bandar Gaza yang dimusnahkan tentera Israel pada Oktober 2023.

Menurut Pertahanan Awam Gaza pada Ahad, kesemua jasad itu ditemukan di kediaman keluarga Abu Naama, lapor Anadolu Ajansi.

Sumber keluarga memaklumkan rumah berkenaan sebelum ini dibedil pesawat perang Israel.

Penemuan terbaharu itu menyusuli operasi pada Sabtu yang menemukan tujuh lagi jasad rakyat Palestin dari dua rumah yang musnah.

Dua kediaman berkenaan masing-masing milik keluarga Nuwairi di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza dan keluarga Atallah di kawasan Yarmouk, Bandar Gaza.

Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada fasa kedua projek Pertahanan Awam Gaza bagi mengeluarkan jasad mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan sepanjang perang di wilayah itu.

Fasa kedua bermula pada 19 Julai dengan operasi meliputi beberapa lokasi di Bandar Gaza, utara Gaza dan kem pelarian Nuseirat.

Pertahanan Awam menganggarkan kira-kira 1,072 mangsa masih berkemungkinan tertimbus di bawah bangunan yang musnah.

Pasukan penyelamat merancang melakukan pencarian di 147 rumah di wilayah utara dan tengah Gaza dengan keseluruhan tempoh operasi dianggarkan mencecah 800 jam bekerja.

Bagaimanapun, operasi itu berjalan perlahan susulan kekurangan jentera berat bagi mengalihkan runtuhan.

Pegawai Palestin berkata perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025 memperuntukkan kemasukan jentera bagi membantu kerja pembersihan runtuhan serta usaha menemukan mangsa.

Dalam fasa pertama operasi yang bermula pada akhir November 2025, sebanyak 333 jasad mangsa berjaya ditemukan.

Pada Oktober 2025, pejabat media kerajaan Gaza menganggarkan kira-kira 9,500 rakyat Palestin masih hilang sejak perang bermula, termasuk mereka yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan serta individu yang masih belum diketahui keberadaannya.

Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut membangkitkan kesan trauma berpanjangan yang dialami keluarga mangsa akibat penantian untuk menemukan jasad ahli keluarga mereka. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading