Connect with us

ALHIJRAH NEWS

WAKAF ZURRI PELIHARA LEGASI KELUARGA

DALAM NEGARA

WAKAF ZURRI PELIHARA LEGASI KELUARGA

Wakaf Zurri iaitu antara instrumen pewarisan Islam yang membolehkan manfaat harta disalurkan kepada ahli keluarga mengikut syarat yang ditetapkan oleh pewakaf.

 

KUALA LUMPUR: Ketika masyarakat lebih sinonim dengan konsep wakaf am, masih ramai yang belum mengetahui kewujudan Wakaf Zurri atau Wakaf keluarga.

Wakaf Zurri iaitu antara instrumen pewarisan Islam yang membolehkan manfaat harta disalurkan kepada ahli keluarga mengikut syarat yang ditetapkan oleh pewakaf.

Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Suzana Md Samsudi berkata, Wakaf Zurri merupakan salah satu alternatif dalam perancangan pewarisan Islam selain hibah dan amanah.

“Wakaf Zurri itu adalah wakaf keluarga. Dari sudut Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) ia dipanggil wakaf ahli, iaitu wakaf khusus untuk keluarga.

“Ia adalah salah satu cara untuk memastikan harta keluarga boleh berterusan sepanjang generasi. Kajian menunjukkan harta kebiasaannya hanya mampu bertahan sehingga generasi ketiga sahaja,” katanya pada Program Klinik Perwarisan Pusaka dan Simposium Wakaf Zurri di ibu negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, Wakaf Zurri merupakan instrumen unik dalam Islam yang bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah memastikan manfaat harta dapat diwariskan secara berkekalan kepada waris mengikut ikrar pewakaf.

Menurut beliau, MAIDAM merupakan satu-satunya Majlis Agama Islam Negeri yang melaksanakan Wakaf Zurri secara berdaftar sejak lebih dua abad lalu.

“Keunikan wakaf keluarga ini ialah ia dapat memastikan kelangsungan ahli zuriat mendapat harta yang ditinggalkan oleh pewakaf serta dapat dinikmati secara berkekalan oleh ahli zuriat.

“Terdapat juga Wakaf Zurri yang membolehkan ahli bukan zuriat menerima manfaat sebagaimana yang ditetapkan dalam ikrar wakaf,” katanya.

Beliau menjelaskan, agihan manfaat wakaf dibuat berpandukan ikrar pewakaf yang disediakan mengikut kehendak syarak bagi memastikan tadbir urus wakaf dapat dilaksanakan dengan teratur dan hak setiap penerima manfaat terus dipelihara.–AlHijrah Online

 


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading