
SELAMA: Penduduk di Kampung Batu Enam, Bukit Bertam, Selama berdepan ancaman keselamatan ekoran laluan utama di perkampungan itu berisiko runtuh.
Masalah jalan rebak di jalan penting itu semakin serius dan dilaporkan berpunca daripada limpahan air deras dari kawasan bukit dan ladang kelapa sawit berhampiran.
Menurut salah seorang penduduk, Mohd Firdaus Syafie, keadaan itu telah menyebabkan beberapa kemalangan berlaku apabila ada kenderaan tergelincir dan terjatuh ke dalam lubang akibat hakisan tanah yang berulang.
“Kereta kerap jatuh, bila dah jatuh tiada orang boleh tolong angkat. Kalau silap pandang, turun bukit ini, memang bahayalah, bahaya jalan dia,” katanya ketika ditemui kru Berita AlHijrah.
Katanya lagi, jalan kecil yang sering berlaku hakisan itu adalah laluan utama dan satu-satunya jalan keluar masuk penduduk ke jalan besar.

Tindakan pemaju yang dilantik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggunakan kaedah tambak batu biasa menyebabkan tar jalan tidak kukuh dan kerap rebak.
“Batu-batu jalan tetap hanyut setiap kali arus deras kerana tidak diikat dengan jaring besi atau konkrit,” tambahnya lagi.
Lebih membimbangkan adalah pada waktu malam berikutan ketiadaan kemudahan lampu jalan.
Menurut seorang lagi penduduk, Nur Raidah Awang, kaedah menambak jalan semata-mata tidak lagi sesuai kerana tidak mampu menahan hakisan yang berlaku setiap kali hujan lebat.
Sehubungan itu, penduduk mendesak pihak PBT segera turun padang bagi mengatasi isu kegagalan infrastruktur jalan serta sistem perparitan yang kini semakin serius dan dianggap kritikal.–AlHijrah Online