
SEREMBAN: Pelajar lelaki tingkatan dua yang meninggal dunia di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah pada Jumaat lepas, dipercayai dipukul menggunakan paip getah oleh pelajar senior.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian berlaku selepas solat Maghrib ketika semua pelajar sepatutnya mengikuti sesi ulang kaji atau “prep” di asrama masing-masing.
Katanya suspek memanggil mangsa ke biliknya di tingkat dua Blok A, sebelum memukul mangsa menggunakan paip getah pada bahagian tapak kaki beberapa kali.
“Mangsa turut dipukul pada beberapa bahagian badan sebelum mangsa dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia”.
“Kita tidak dapat pastikan sama ada mangsa meninggal di asrama atau dalam perjalanan menuju ke hospital,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Terdahulu, polis menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun, bagi membantu siasatan kes menjadikan dua suspek ditahan setakat ini.
Suspek merupakan pelajar di sekolah sama dan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah semalam untuk permohonan reman enam hari sehingga 3 Okt, bagi membantu siasatan, tambahnya.
Ujarnya polis menjalankan siasatan menyeluruh dan satu pasukan siasatan khas ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan kes ini, termasuk mencari punca sebenar kematian.
“Keputusan bedah siasat masih belum dapat ditentukan punca kematian mangsa dan polis sedang menunggu keputusan sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia.
“Sebanyak 68 keterangan saksi direkodkan, bagaimanapun masih terdapat beberapa saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya sambil memaklumkan kes berkenaan masih lagi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata beberapa pelajar sekolah berkenaan turut tampil kepada polis dan mendakwa mereka pernah dibuli oleh suspek pertama yang ditahan.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar tingkatan empat direman enam hari bagi membantu siasatan, berhubung kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di Kuala Pilah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai satu kejadian mendatangkan kecederaan terhadap pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah.
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.—AlHijrah Online