
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali bertugas dengan mempengerusikan Commander’s Call Bil. 3/2026.
AKPS dalam hantaran di Facebooknya berkata, Mohd Shuhaily kembali bertugas selepas bercuti pada minggu lalu.
Katanya mesyuarat itu menghimpunkan semua pegawai kanan serta Komander Pintu Masuk AKPS bagi membincangkan hala tuju dan gerak kerja agensi itu.
Ia termasuk perbincangan kepada Gerak Atur 2027, khususnya dalam memperkukuh hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.
“Fokus jelas. Gerak kerja diperkemas. Misi diteruskan. AKPS terus komited memperkukuh kecekapan pengoperasian, integriti dan keselamatan pintu masuk negara,” katanya, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 29 Oktober lalu mengesahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuat keputusan untuk mengembalikan Mohd. Shuhaily ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas penempatan beliau secara pinjaman di AKPS ditamatkan.
Ia selepas Mohd. Shuhaily terlibat dengan kontroversi susulan insiden di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu yang membawa kepada siasatan polis berhubung dakwaan kekasaran terhadap dua anggota polis.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail memaklumkan penugasan baharu Mohd. Shuhaily dalam PDRM masih belum diputuskan dan proses berkaitan penamatan awal tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah AKPS perlu diselesaikan terlebih dahulu.—AlHijrah Online