
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kerajaan akan mengumumkan peruntukan khusus untuk golongan belia menerusi Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan pada 9 Oktober ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mengambil kira keluhan dan permintaan golongan belia termasuk berkaitan kos pendidikan serta keperluan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Ada anak-anak universiti kata, kita nak belajar tapi kita lapar, kita tumpukan, nanti saya umum masa belanjawan nanti.
“Anak-anak miskin tak mampu terpaksa berhutang, hal-hal ini kita kena dengar. Saya tegaskan negara ini bukan miskin, negara ini Alhamdulillah punyai kekayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Kerajaan sebelum ini turut memaklumkan mahasiswa dan institusi pengajian tinggi antara kelompok yang akan diberikan perhatian dalam Belanjawan 2027.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau meluangkan masa berjam-jam semalam mendengar pandangan golongan sarjana dan saintis mengenai langkah yang perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan.
“Siapa yang menentukan (masa depan negara)? Bukan generasi saya, (tetapi) generasi anak-anak ini.
“Meneroka alam dan disiplin baru ini adalah bidang anak-anak, (jadi) tanggungjawab saya beri ruang, angkat mutu pendidikan, penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris Bahasa Cina, Bahasa Arab Bahasa Perancis, Bahasa Jerman silakan, beri ruang kepada mereka,” katanya.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana, Fanitsyara Kam Phon. — AlHijrah Online