Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PELAJAR DIPERCAYAI DIBUNUH DI SEKOLAH, JPNJ DAN PPD DIARAH BERI KERJASAMA PENUH

DALAM NEGARA

PELAJAR DIPERCAYAI DIBUNUH DI SEKOLAH, JPNJ DAN PPD DIARAH BERI KERJASAMA PENUH

Kerajaan Negeri Johor mengarahkan JPNJ dan PPD Batu Pahat memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah.

JOHOR BAHRU: Kerajaann Negeri Johor memandang serius insiden kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Batu Pahat, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat telah diminta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan.

Pada masa sama, sokongan yang diperlukan turut diberikan kepada keluarga mangsa serta komuniti sekolah yang terkesan dengan kejadian itu.

“Saya ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.

“Namun, sama ada insiden ini mempunyai unsur-unsur berkenaan hendaklah ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan bukannya melalui spekulasi.

“Sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat untuk setiap anak Johor yang mana tempat mereka menimba ilmu, membina masa hadapan dan berada dalam persekitaran yang melindungi keselamatan serta kesejahteraan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti fakta serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri bersama JPNJ dan agensi berkaitan akan terus memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan di institusi pendidikan serta mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.

“Saya menyeru semua pihak termasuk orang awam dan pengguna media sosial supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat kesimpulan awal yang boleh mengganggu proses siasatan serta menambah kesedihan keluarga mangsa.

“Dalam tempoh ini, keutamaan kita adalah menghormati keluarga mangsa, memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan teliti dan memastikan sebarang maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat serta bertanggungjawab.

“Saya merakamkan salam takziah kepada keluarga mangsa. Semoga mereka diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi kehilangan ini,” ulas beliau. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading