Connect with us

ALHIJRAH NEWS

BUKAN LAGI LANGKAWI, ROHINGYA GUNA JALAN LAUT LAIN

DALAM NEGARA

BUKAN LAGI LANGKAWI, ROHINGYA GUNA JALAN LAUT LAIN

Langkawi bukan lagi menjadi lokasi utama pendaratan pendatang tanpa izin (PATI) apabila kumpulan warga asing termasuk etnik Rohingya dipercayai mengubah laluan masuk ke beberapa kawasan perairan lain di Kedah.

ALOR SETAR: Langkawi bukan lagi menjadi lokasi utama pendaratan pendatang tanpa izin (PATI) apabila kumpulan warga asing termasuk etnik Rohingya dipercayai mengubah laluan masuk ke beberapa kawasan perairan lain di Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sebelum ini golongan berkenaan banyak mendarat di Teluk Ewa dan Teluk Datai di Langkawi, namun hasil kawalan ketat mendapati tiada pendaratan warga asing direkodkan di kawasan itu sejak dua bulan lalu.

Sebaliknya, aktiviti pendaratan menggunakan bot kecil kini dikesan berlaku di beberapa kawasan termasuk Kuala Kedah, Kerpan, Yan dan Kuala Muda.

Beliau berkata, pihaknya bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) turut memperketat kawalan sempadan negara di 17 lokasi secara 24 jam melalui rondaan serta penugasan anggota di kawasan berisiko.

“Mungkin mereka ada saudara mara di sini, mereka ubah pula dalam masuk perjalanan laut ni dengan kumpulan kecil yang mana mungkin 10 orang kebanyakannya lajak terus ke Kuala Kerpan, Kuala Kedah, Yan dan Kota Kuala Muda.

“Ini terbukti apabila kita tangkap, hasil risikan yang dilakukan, ada nelayan yang bersekongkol, ambil upah untuk membantu membawa masuk mereka ke negara ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Polis turut pernah menahan seorang bekas anggota polis dari negeri itu yang didakwa membawa masuk 72 PATI menggunakan lori kira-kira dua bulan lalu.

Suspek berusia 30-an itu ditahan di Tol Hutan Kampung dan sebelum ini pernah dibuang kerja atas kesalahan berkaitan dadah.

Selain itu, tiga anggota tentera turut ditahan dalam kejadian berasingan kerana dipercayai membawa PATI menggunakan dua buah kereta di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini.

“Modus operandi mereka mendarat di sekitar Kuala Kedah dan tempat saya sebut tadi dengan bantuan pihak nelayan dengan kumpulan kecil 72 orang iaitu dua atau tiga bot.

“Bekas anggota polis ini dan rakannya itu orang awam membawa kumpulan PATI ini dan kita dapat pintas lori berkenaan di Tol Hutan Kampung dan kita tak akan kompromi dengan sesiapa pun,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Adzli berkata kes jenayah membabitkan warga Myanmar termasuk etnik Rohingya di Kedah meningkat dengan ketara sejak tahun lalu, dengan majoritinya melibatkan jenayah kekerasan sesama mereka.

Beliau berkata, sebanyak 39 kes jenayah membabitkan warga asing itu direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 65 kes sepanjang tahun lalu. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading