
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menangguhkan urusan harta pusaka selepas kematian ahli keluarga kerana tindakan itu boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk kesukaran menjual harta, menuntut pampasan serta berisiko menjejaskan hak waris yang berhak.
Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Baharuddin Aziz berkata, antara punca utama lambakan kes harta pusaka adalah sikap waris yang terlalu lama menangguhkan permohonan pusaka.
Beliau berkata, waris sepatutnya segera berbincang dan mencapai persetujuan bagi memulakan proses permohonan supaya pembahagian harta dapat diselesaikan dengan lebih cepat.
“Kalau kita lewat untuk mohon pusaka, takut kita termakan hak orang lain. Masyarakat juga masih terlalu berpegang kepada adat seperti menunggu ‘tanah kubur masih merah’ sebelum menguruskan pusaka, sedangkan urusan itu wajar disegerakan,” katanya.
Menurut beliau, bagi umat Islam, pembahagian harta pusaka hendaklah dilaksanakan mengikut hukum faraid. Namun, ia tidak bermaksud semua waris perlu didaftarkan dalam satu geran tanah kerana nilai harta masih boleh dibahagikan mengikut kadar faraid tanpa menambah terlalu banyak nama dalam satu pegangan.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Hak Milik Strata dan Stratum JKPTG, Danial Lee Abdullah berkata, masih ramai pemilik kediaman bertingkat menyangka perjanjian jual beli sudah memadai untuk melindungi hak mereka.
Sebaliknya, katanya, hak pemilik hanya benar-benar terjamin apabila geran hak milik strata didaftarkan di Pejabat Tanah.
Beliau berkata, jabatan itu masih menerima aduan melibatkan pemilik yang gagal memperoleh hak milik strata sehingga mencecah 30 tahun, malah ada yang melangkaui satu generasi.
“Keadaan ini menyukarkan urusan pindah milik, penjualan dan pewarisan harta, terutama apabila pemaju sudah tidak lagi aktif atau telah gulung tikar,” katanya.
Menurut Danial, permohonan hak milik strata mengikut peruntukan undang-undang perlu dibuat oleh pemaju, menyebabkan pembeli berdepan kesukaran sekiranya pemaju gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai yang berdepan isu berkaitan harta pusaka, hak milik strata atau urusan tanah dijemput menghadiri Klinik Pentadbiran Tanah sempena Hari Tanah Negara Ke-10 yang akan berlangsung pada 18 Julai, dari 9 pagi hingga 5 petang di Stesen Sentral Kuala Lumpur.
Program itu menawarkan khidmat nasihat secara percuma daripada JKPTG serta pelbagai agensi berkaitan bagi membantu orang ramai mendapatkan penjelasan dan penyelesaian terhadap isu pentadbiran tanah. — AlHijrah Online.