
KUALA LUMPUR: Wartawan TV AlHijrah, Nur Hanisa Hasanuddin, mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Laporan Khas Berita TV Terbaik menerusi laporan bersiri bertajuk ‘Kurma Dari Israel’ pada Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026).
Laporan berkenaan mendedahkan penjualan kurma dari Israel secara terang-terangan di pasaran tempatan, malah lebih mengecewakan apabila produk terbabit jelas tertera maklumat bahawa ia diimport oleh sebuah syarikat dari Malaysia.
Penjualan produk berkenaan mencetuskan persoalan dan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini, khususnya ketika Israel terus melancarkan serangan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Susulan pendedahan menerusi laporan bersiri itu, pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk menjalankan operasi penguatkuasaan dan merampas barangan yang dijual.
Kemenangan ini sekali gus menjadi pengiktirafan terhadap kewartawanan berimpak tinggi yang bukan sahaja membongkar isu berkepentingan awam, malah mendorong tindakan susulan pihak berkuasa.
Pengiktirafan pada ASA2026 turut membuktikan komitmen TV AlHijrah dalam menghasilkan laporan berita yang berani, berintegriti dan memberi impak kepada masyarakat. — AlHijrah Online