
Foto: AFP
JAKARTA: Indonesia mencipta sejarah apabila secara terbuka mengumumkan komitmen menghantar sehingga 8,000 anggota tentera ke Gaza di bawah Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), sekali gus menjadi negara pertama yang menawarkan jumlah sebesar itu untuk misi pengaman berkenaan.
Pengumuman itu dibuat selepas Indonesia menerima jawatan Timbalan Komander ISF, yang diumumkan dalam mesyuarat Lembaga Keamanan di Rumah Putih yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Komander ISF, Mejar Jeneral Jasper Jeffers berkata Indonesia telah menerima tawaran tersebut satu langkah yang meletakkan Jakarta bukan sekadar sebagai penyumbang pasukan, tetapi sebagai peneraju strategik di lapangan.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menegaskan bahawa penghantaran pasukan boleh dilaksanakan dalam tempoh dua bulan.
Malah, satu pasukan pendahulu dijangka dihantar lebih awal untuk melakukan pemetaan operasi serta analisis risiko keselamatan di Gaza.
“Mereka meminta kami menjadi Timbalan Komander, dan kerajaan akan melantik pegawai terbaik untuk jawatan tersebut” kata Prabowo Subianto seperti yang dipetik agensi berita Antara
Komitmen sehingga 8,000 tentera itu bukan sekadar simbolik. Ia memberi isyarat jelas bahawa Indonesia bersedia memikul beban keselamatan fizikal di lapangan.
Menurut Jeffers, penempatan awal akan difokuskan di Rafah sebelum diperluas ke empat sektor lain iaitu Khan Yunis, Deir el-Balah, Gaza City dan Utara Gaza.
Dalam pelan jangka panjang, ISF menyasarkan kekuatan keseluruhan 20,000 anggota tentera dan 12,000 anggota polis di Gaza dan Indonesia dijangka menjadi antara
penyumbang terbesar komponen ketenteraan tersebut.
Misi ini dijangka menjadi ujian besar terhadap keupayaan Indonesia mengurus operasi luar negara berskala besar, selain mengukuhkan reputasinya sebagai pemain penting dalam
keselamatan serantau dan antarabangsa. – Alhijrah Online