Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MESIR GESA HENTI PENGUSIRAN RAKYAT PALESTIN

DUNIA

MESIR GESA HENTI PENGUSIRAN RAKYAT PALESTIN

Perdana Menteri Mostafa Madbouly menegaskan semula sokongan Mesir terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan mempunyai kesinambungan wilayah berdasarkan garisan 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Sumber Gambar: AFP

ISTANBUL: Mesir pada Jumaat menegaskan penolakannya terhadap sebarang usaha memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, lapor Anadolu Ajansi.

Perdana Menteri Mostafa Madbouly berkata pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bahawa gencatan senjata di Gaza mesti dilaksanakan sepenuhnya, pelanggaran Israel dihentikan dan pengunduran disempurnakan.

Beliau turut menyeru supaya akses kemanusiaan dikekalkan, usaha pemulihan awal dan pembinaan semula dimulakan serta proses politik digerakkan bagi menangani punca konflik.

“Keamanan tidak boleh dibina dengan menyingkirkan sesuatu bangsa dari tanah air mereka,” katanya.

Madbouly memberi amaran bahawa kestabilan serantau tidak akan dapat dicapai selagi penderitaan rakyat Palestin berterusan dan pendudukan hanya diurus, bukannya ditamatkan.

Beliau menegaskan semula sokongan Mesir terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan mempunyai kesinambungan wilayah berdasarkan garisan 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Madbouly turut menggesa masyarakat antarabangsa melindungi orang awam, menolak hukuman kolektif dan memastikan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dihormati.

Mengenai keselamatan serantau, beliau berkata tiada negara boleh mencapai keselamatan dengan mengorbankan negara jirannya, sama ada menerusi serangan terhadap negara lain atau dengan mengancam laluan perkapalan, perdagangan dan tenaga.

Beliau menyifatkan keselamatan air Mesir sebagai “isu kelangsungan hidup”, sambil memberi amaran terhadap langkah unilateral membabitkan sumber air bersama dan menegaskan keperluan kepada perjanjian yang mengikat di bawah undang-undang antarabangsa.

“Pembangunan oleh satu pihak tidak seharusnya dilakukan dengan memudaratkan pihak lain,” tegasnya.

Tambah beliau, Mesir mengekalkan haknya di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi keselamatan air negara itu.

Madbouly turut menegaskan semula sokongan Kaherah terhadap perpaduan Sudan dan institusi negara itu di tengah-tengah konflik yang berterusan.

Beliau juga memperbaharui tuntutan Mesir supaya reformasi menyeluruh Majlis Keselamatan PBB dilaksanakan bagi menangani kekurangan perwakilan Afrika, selain menyeru supaya Asia Barat bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah lain. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading