Connect with us

ALHIJRAH NEWS

REVOLUSI KANDUNGAN DIGITAL: TV ALHIJRAH PERKASA WARTAWAN HADAPI PERSAINGAN MEDIA BAHARU

UTAMA

REVOLUSI KANDUNGAN DIGITAL: TV ALHIJRAH PERKASA WARTAWAN HADAPI PERSAINGAN MEDIA BAHARU

TV AlHijrah mengambil langkah proaktif memperkukuh keupayaan tenaga medianya menerusi dua siri Kursus Penghasilan Kandungan Digital Berimpak di bawah Program Dana Inovasi Media 2026 yang dikendalikan oleh Malaysian Press Institute (MPI).

CYBERJAYA: Dalam landskap media yang bergerak pantas dan semakin didominasi platform digital, wartawan bukan lagi sekadar bersaing untuk menjadi yang pertama melaporkan berita, sebaliknya perlu menghasilkan kandungan yang pantas, tepat, berimpak serta mampu menarik perhatian audiens merentas pelbagai platform.

Menyedari perubahan itu, TV AlHijrah mengambil langkah proaktif memperkukuh keupayaan tenaga medianya menerusi dua siri Kursus Penghasilan Kandungan Digital Berimpak di bawah Program Dana Inovasi Media 2026 yang dikendalikan oleh Malaysian Press Institute (MPI).

Siri pertama kursus telah berlangsung di AlHijrah Nexus TV, Cyberjaya pada 4 dan 5 Ogos lalu, manakala siri lanjutan dijadualkan berlangsung pada 10 dan 11 Ogos ini di Kuala Lumpur, membabitkan penyertaan seramai 15 wartawan dan pengamal media TV AlHijrah.

Program latihan itu memberi penekanan terhadap pembangunan kemahiran menghasilkan kandungan digital yang lebih kreatif, pantas dan relevan dengan kehendak pengguna media masa kini, termasuk penggunaan Mobile Journalism (MoJo), teknik rakaman dan penyuntingan video, analitik digital, kecerdasan buatan (AI), selain pemahaman terhadap undang-undang media, hak cipta serta etika kewartawanan.

Pengajar kursus, Zaki Abd Rahim, berkata perubahan corak penggunaan media menuntut wartawan menguasai pendekatan baharu bagi memastikan kandungan yang dihasilkan terus relevan dan memberi impak kepada masyarakat.

Menurut beliau, platform seperti TikTok, Instagram, YouTube dan media sosial kini menjadi medium utama masyarakat mendapatkan maklumat, justeru pengamal media perlu bijak menyesuaikan cara penyampaian tanpa mengabaikan prinsip kewartawanan.

“Cabaran wartawan hari ini sangat berbeza. Kita didesak dengan kepantasan, keringkasan dan keperluan menghasilkan kandungan yang berbeza daripada orang lain. Sebab itu kemahiran menghasilkan video pendek dan kandungan digital kini sangat penting.”

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kebebasan platform digital tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai organisasi media.

“Walaupun kandungan disampaikan di media sosial, stesen televisyen tetap mempunyai tanggungjawab mendidik, mempengaruhi dan membawa masyarakat ke arah perkara yang baik. Kandungan mesti sentiasa dikawal dan mematuhi etika kewartawanan.”

Beliau turut berpandangan wartawan masa kini perlu mengubah cara berfikir supaya lebih kreatif dan berdaya saing dalam menghasilkan kandungan yang eksklusif serta mempunyai nilai tambah.

“Kalau orang lain boleh buat, kenapa kita tidak boleh? Yang penting ialah memilih kandungan yang mempunyai nilai eksklusif, kemudian menyampaikan ia dengan cara yang menarik supaya memberi impak kepada penonton.”

Sementara itu, Pengurus Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Nuzatul Shima Sulaiman berkata kedua-dua siri latihan tersebut dirangka bagi memperkasakan kemahiran pengamal media menghasilkan kandungan digital yang berkualiti, kreatif dan berimpak tinggi.

Menurut beliau, latihan secara praktikal itu bukan sahaja meningkatkan kompetensi peserta dalam penghasilan kandungan digital, malah memperkukuh pemahaman mengenai pematuhan kandungan, hak cipta serta amalan terbaik industri penyiaran.

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan MPI dalam menyokong agenda transformasi media negara menerusi latihan yang relevan dengan keperluan industri, sekali gus membantu organisasi media memperkukuh daya saing dalam era digital yang semakin kompetitif.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading