Connect with us

ALHIJRAH NEWS

NUR26 BAWA DAKWAH KE PENTAS URBAN, DEKATI JIWA ANAK MUDA

UTAMA

NUR26 BAWA DAKWAH KE PENTAS URBAN, DEKATI JIWA ANAK MUDA

NUR26 menghimpunkan seni, dakwah dan pengisian kerohanian dalam pendekatan urban bagi mendekati generasi muda serta menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

KUALA LUMPUR: Istana Budaya dan TV AlHijrah buat julung kalinya bergabung menerusi program Nuansa Urban Rohani 2026 (NUR26), Hijrah Malam Cinta Rasul yang bakal berlangsung di Lambang Sari dan Laman Beringin, Istana Budaya pada 25 Ogos ini.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah, NUR26 mengetengahkan pendekatan dakwah kreatif dengan menggabungkan selawat, seni persembahan, muzik kontemporari Islam, multimedia dan interaksi komuniti dalam suasana lebih moden serta dekat dengan generasi muda.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin berkata, program itu diharap mampu menjadi wadah yang menghubungkan seni dengan pengisian kerohanian.

“Kami berharap NUR26 dapat menjadi sebuah platform yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi pada masa yang sama membawa pengisian dan mesej kerohanian yang positif akan melekat pada jiwa masyarakat, khususnya golongan muda, serta menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.”

Pendekatan urban dipilih mengambil kira kehidupan generasi muda yang dekat dengan dunia digital, budaya urban serta pelbagai bentuk kandungan kreatif.

“Konsep urban ini bukan bermaksud kita mengubah nilai Islam, tetapi kita menggunakan bahasa seni dan persembahan yang lebih segar supaya mesej tentang akhlak, kecintaan kepada Rasulullah SAW, spiritualiti dan keharmonian dapat diterima dengan lebih dekat dan santai.”

Antara pengisian sepanjang NUR26 ialah Pencarian Urban Muazzin, Podcast Tausiah & Ibrah, Refleksi Quran “Dari Mata Turun ke Hati” serta Satu Hati, Satu Saf.

Kemuncak program di Laman Beringin pula menampilkan Kanvas Seni Islam yang menggabungkan berzanji, marhaban, qasidah, tarannum, nasyid dan sketsa selain Mualamat Corner, Resonansi Quran serta Letter to Rasulullah.

Menerusi Letter to Rasulullah, pengunjung berpeluang menulis nota bertemakan “Kalau saya dapat berjumpa dengan Rasulullah…” sebelum dipamerkan menerusi Wall of Love Rasulullah sebagai simbolik luahan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

NUR26 turut menghimpunkan barisan selebriti dan ikon Islam termasuk Ahmad Fetri Yahya, Ustaz Hariri Daud, Heliza dan Hazwani Helmi, Wan Sharmila serta kumpulan Inteam, Hijjaz dan NowSeeHeart.

Program berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi TV AlHijrah dan IKIMfm bagi memberi peluang kepada masyarakat yang tidak dapat hadir secara fizikal untuk mengikuti pengisiannya.

Istana Budaya turut berharap NUR26 dapat berkembang sebagai program tahunan yang mengangkat seni persembahan berbentuk kerohanian sebagai antara pengisian penting dalam kalendar seni negara. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading