Connect with us

ALHIJRAH NEWS

ROBERTO CARLOS NAFI DAKWAAN PELUK ISLAM

UTAMA

ROBERTO CARLOS NAFI DAKWAAN PELUK ISLAM

Legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos menafikan dakwaan bahawa beliau memeluk Islam selepas berkahwin dengan ahli perniagaan dari Maghribi, Souheila Tahiri.

RABAT: Legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos menafikan dakwaan bahawa beliau memeluk Islam selepas berkahwin dengan ahli perniagaan dari Maghribi, Souheila Tahiri.

Bekas pertahanan Real Madrid itu menjelaskan perkara berkenaan dalam wawancara eksklusif bersama akhbar Arab Saudi, Okaz, susulan spekulasi yang tular di media sosial sejak beberapa minggu lalu.

“Saya sangat menghormati Islam dan amat indah melihat isteri saya menunaikan solat, tetapi khabar angin yang tersebar mengenai saya memeluk Islam adalah tidak benar,” katanya.

Sebelum ini, beberapa laporan mendakwa Carlos, 53, memeluk Islam kira-kira empat minggu lalu, malah ada yang mendakwa beliau melafazkan syahadah ketika bertemu Sheikh Jihad Hamada, tokoh terkenal dalam komuniti Islam di Brazil.

Beberapa gambar yang tersebar di media sosial turut memaparkan pasangan itu dalam majlis yang didakwa sebagai upacara perkahwinan secara Islam.

Bagaimanapun, Carlos menjelaskan bahawa sambutan perkahwinannya diadakan dalam beberapa bentuk bagi menghormati latar belakang keluarga serta pegangan agama kedua-dua pihak.

Menurutnya, mereka turut mengadakan majlis yang meraikan ahli keluarganya yang beragama Katolik, selain menghormati latar belakang isterinya yang berasal dari Maghribi serta rakan-rakan isterinya yang beragama Islam.

Penyertaannya dalam majlis yang berkaitan dengan agama isterinya tidak bermaksud beliau telah menukar pegangan agama.

Dalam wawancara itu, Carlos turut mendedahkan bahawa beliau dan Tahiri pertama kali bertemu dalam satu pertemuan perniagaan yang berkaitan dengan bola sepak.

Beliau menyifatkan isterinya sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya dan memaklumkan hubungan mereka telah terjalin selama kira-kira dua tahun sebelum mendirikan rumah tangga.

Perkahwinan pasangan itu mendapat perhatian di Maghribi dan Brazil kerana status Carlos sebagai antara legenda bola sepak dunia, manakala Tahiri pula merupakan seorang usahawan dari Maghribi.

Kenyataan Carlos sekali gus menamatkan spekulasi yang mengaitkan beliau dengan dakwaan memeluk Islam. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading