
IPOH: Polis menahan seorang lelaki disyaki memukul seekor anak kucing menggunakan penyapu aluminium di kawasan perumahan di Batu Gajah dekat sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Md Noor Aehawan Mohammad, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.04 tengah hari selepas ia dirakam oleh jiran suspek yang juga saksi kejadian.
Beliau berkata hasil semakan terhadap rakaman video berdurasi dua minit 19 saat itu mendapati seorang lelaki dilihat memukul seekor anak kucing beberapa kali menggunakan penyapu jenis aluminium.
“Kejadian itu berlaku di kawasan parkir rumah suspek. Susulan kejadian itu, suspek hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk menyerah diri sebelum ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Md Noor Aehawan, siasatan awal mendapati suspek membuat pengakuan memukul anak kucing berkenaan selepas mendakwa haiwan itu masuk ke bahagian enjin kenderaan miliknya yang diletakkan di kawasan rumah.
Suspek mendakwa bertindak sedemikian kerana bimbang anak kucing berkenaan boleh tercedera atau mendatangkan bahaya sekiranya enjin kenderaan dihidupkan serta dikhuatiri berlaku kerosakan pada kenderaan.
Beliau berkata hasil siasatan turut mendapati anak kucing berkenaan masih hidup dan telah diambil oleh jiran suspek untuk mendapatkan rawatan di klinik veterinar hari ini.
“Polis akan mendapatkan laporan veterinar berhubung keadaan anak kucing itu bagi melengkapkan siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
— AlHijrah Online.