Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda mendoakan agar kesemua jemaah dikurniakan keselamatan, kesihatan yang baik serta beroleh haji yang mabrur.
Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menitipkan pesanan khusus kepada jemaah haji supaya sentiasa mengekalkan disiplin yang tinggi dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa sepanjang berada di Tanah Suci.
“Diharap kepada para jemaah haji supaya sentiasa menjaga disiplin dan mematuhi setiap arahan pihak berkuasa. Dalam kita menunaikan ibadah, keselamatan diri juga adalah satu amanah. Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” menurut hantaran itu.
Seri Paduka Baginda pada masa sama berkenan mengurniakan sumbangan pek makanan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada jemaah haji.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebelum diserahkan kepada Ketua Rombongan Haji Kerajaan Negeri Johor Fizwan Rashidi.
Serahan dilakukan menerusi Majlis Perjumpaan Menteri Besar Johor Bersama Bakal-Bakal Haji Rombongan Kerajaan Negeri Johor yang berlangsung di Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.–BERNAMA