KOTA BHARU: Tindakan seorang lelaki yang memandu secara berbahaya dan melarikan diri daripada Sekatan Jalan Raya (SJR) membawa padah, apabila dia ditahan polis selepas insiden itu berakhir dengan kemalangan, semalam.
Ketua Polis Daerah Jeli Superintenden Kamarulzaman Harun berkata kejadian pada 6.20 petang itu berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Honda Accord yang datang dari arah Gerik ke Jeli, memecut laju melalui SJR.
Beliau berkata kenderaan itu bertindak meloloskan diri daripada pemeriksaan pihak polis di SJR Batu 6, Jalan Raya Timur Barat, Batu Melintang yang diadakan sempena Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah.
“Maklumat kejadian itu segera disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli dan seterusnya kepada anggota peronda MPV serta anggota petugas khas IPD Jeli untuk tindakan lanjut. Pihak polis telah mengesan kenderaan itu dan mengekori suspek sehingga ke daerah Tanah Merah.
“Kenderaan itu telah diarah untuk berhenti, namun suspek enggan berbuat demikian. Suspek secara tiba-tiba membuat pusingan U di Jalan Jedok, Tanah Merah sehingga mengakibatkan kenderaannya melanggar kenderaan pihak polis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Susulan perlanggaran itu, suspek kemudiannya ditahan polis dan pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu telah menemukan satu keratan straw minuman berisi 10 biji pil kemerahan disyaki dadah di bawah pelapik kaki bahagian pemandu, manakala satu lagi straw mengandungi sebiji pil kemerahan disyaki dadah ditemukan di tepi pintu bahagian pemandu.
Kamarulzaman berkata hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Beliau berkata kes disiasat di bawah pelbagai akta termasuk Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Permohonan reman ke atas tangkapan itu turut dilakukan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.–AlHijrah Online