
ISTANBUL: Seorang maut manakala 11 lagi cedera dalam serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, menurut pihak berkuasa penerbangan awam negara itu awal Isnin.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) mengesahkan mangsa yang maut ialah seorang warga Pakistan yang menetap di negara berkenaan.
Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
GACA turut memaklumkan serangan itu menyebabkan kerosakan harta benda yang masih dalam penilaian.
Terdahulu, pakatan diketuai Arab Saudi di Yaman memaklumkan Terminal 4 lapangan terbang berkenaan terkena projektil yang tidak dikenal pasti pada petang Ahad hingga mencetuskan kebakaran.
Insiden itu berlaku sehari selepas satu lagi serangan di lapangan terbang sama yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.
Pakatan diketuai Arab Saudi menyalahkan kumpulan Houthi di Yaman atas serangan berkenaan dan berikrar mengambil tindakan tegas, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa. — AlHijrah Online