
KUALA LUMPUR: Peruntukan subsidi, bantuan dan insentif melebihi RM80 bilion menerusi Belanjawan 2027 dilihat mampu membantu mengekalkan kuasa beli rakyat ketika berdepan tekanan kos sara hidup dan risiko peningkatan inflasi.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah itu penting memandangkan kadar inflasi pada 2027 dijangka berada antara 1.8 hingga 2.8 peratus.
“Perkara ini berikutan situasi harga bahan api dijangka kekal tinggi berikutan perang di Asia Barat yang tidak diketahui bila titik noktahnya.
“Peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion akan membantu dalam menyuntik pendapatan tambahan sekali gus kuasa beli rakyat terutama bagi golongan pendapatan menengah dan rendah,” katanya kepada pemberita.
Jumaat lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat mengumumkan penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.
Rakyat berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR pula akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata, peruntukan termasuk RM40 bilion bagi subsidi bahan api serta hampir RM3.3 bilion untuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Bagaimanapun, beliau berkata, bantuan tunai dan subsidi tidak seharusnya menjadi penyelesaian jangka panjang sebaliknya perlu disusuli usaha meningkatkan kemahiran, produktiviti dan pendapatan rakyat.
“Dalam jangka panjang, diharapkan mereka menerima suntikan dari segi pendidikan, latihan dan peningkatan produktiviti supaya dapat keluar daripada golongan penerima bantuan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah pula berkata, Belanjawan 2027 memberi perhatian terhadap kos sara hidup, peningkatan pendapatan serta penambahbaikan perkhidmatan asas termasuk kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam.
Namun, katanya tekanan kewangan bukan sahaja dihadapi golongan B40, malah turut dirasai M40 yang perlu menanggung pelbagai komitmen bulanan termasuk ansuran rumah dan kenderaan, persekolahan, penjagaan kanak-kanak, insurans perubatan serta ibu bapa yang semakin berusia.
“Sebagai contoh, ada keluarga M40 dengan pendapatan lebih RM7,000 sebulan namun perlu menanggung tiga orang anak dan ibu bapa warga emas berkemungkinan menghadapi tekanan kewangan lebih besar berbanding keluarga berpendapatan lebih rendah tetapi mempunyai tanggungan sedikit.
“Oleh itu, kemampuan isi rumah perlu dinilai berdasarkan pendapatan boleh guna dan komitmen sebenar, bukan jumlah pendapatan semata-mata,” ulasnya. — AlHijrah Online