Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SERANGAN SIBER: SISTEM UTAMA TABUNG HAJI KEMBALI BEROPERASI SELEPAS PEMERIKSAAN KESELAMATAN MENYELURUH – TH

UTAMA

SERANGAN SIBER: SISTEM UTAMA TABUNG HAJI KEMBALI BEROPERASI SELEPAS PEMERIKSAAN KESELAMATAN MENYELURUH – TH

Sistem dan perkhidmatan utama Tabung Haji kembali beroperasi selepas serangan siber pada 8 Oktober lalu. Bagaimanapun, tiga fungsi THiJARI masih belum dapat digunakan dan memerlukan pemulihan lanjut.

KUALA LUMPUR: Sistem dan perkhidmatan utama Lembaga Tabung Haji (TH) kembali beroperasi selepas mengalami gangguan susulan serangan siber yang menyebabkan perkhidmatannya dihentikan sementara sejak 8 Oktober lalu.

TH menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pengoperasian semula itu dilaksanakan selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh, pengukuhan kawalan dan langkah pemulihan sistem selesai dijalankan.

“Sejak insiden tersebut, pasukan dalaman TH telah bekerjasama dengan pakar luar serta pihak berkuasa keselamatan siber negara untuk menyiasat kejadian, menangani ancaman dan memulihkan sistem.

“Serangan ini merupakan perbuatan jenayah terhadap TH dan negara yang bertujuan menjejaskan operasi serta perkhidmatan,” kata TH.

Sementara TH juga telah membuat laporan polis dan melaporkan perkara ini kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

“Cawangan TH di Kedah, Terengganu dan Kelantan telah kembali beroperasi mulai Ahad, 11 Oktober 2026, manakala semua cawangan di negeri-negeri lain dibuka seperti biasa hari ini.

“Perkhidmatan melalui bank-bank rakan strategik TH juga telah kembali aktif,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, beberapa fungsi dalam aplikasi THiJARI masih memerlukan tindakan pemulihan lanjut.

“Bagi THiJARI, semua fungsi telah kembali beroperasi kecuali penetapan semula kata laluan, pendaftaran pengguna baharu dan pembukaan akaun secara dalam talian.

“Ketiga-tiga fungsi ini masih memerlukan tindakan pemulihan lanjut sebelum dapat diaktifkan semula,” jelasnya.

Dalam pada itu, TH memberi jaminan bahawa simpanan pendeposit kekal selamat, selain akan meneruskan pemantauan dan memperkukuh keselamatan sistem bagi mengelakkan gangguan berulang.

Pendeposit yang mengesan sebarang transaksi mencurigakan atau perkara luar biasa pada akaun masing-masing diminta segera menghubungi Pusat Perhubungan TH di talian 03-6207 1919.

Terdahulu, TH menghentikan sementara operasi sistem dan perkhidmatannya di semua saluran pada 8 Oktober lalu sebagai langkah melindungi simpanan serta maklumat peribadi pendeposit susulan serangan siber.– AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading