
Sumber: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia dan Jordan akan terus memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan dan pendidikan demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.
Ketika mengalu-alukan keberangkatan Raja Jordan Raja Abdullah II yang dalam rangka lawatan negara selama dua hari ke Malaysia bermula semalam, Sultan Ibrahim bertitah hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara adalah berteraskan nilai bersama, sikap saling menghormati serta komitmen untuk memelihara institusi diraja dan warisan masing-masing.
Seri Paduka Baginda bertitah kedua-dua institusi diraja mempunyai warisan sejarah yang kaya, dengan keluarga diraja Jordan mempunyai susur galur keturunan daripada Nabi Muhammad SAW, manakala Kesultanan Johor memainkan peranan penting dalam membentuk adat resam dan tradisi Melayu yang berteraskan nilai Islam.
“Walaupun berakar umbi daripada latar belakang sejarah dan budaya berbeza, kedua-dua institusi diraja ini berkongsi warisan sama dalam memelihara khazanah warisan, mempertahankan institusi masing-masing serta berkhidmat kepada rakyat sejak turun-temurun,” titah Seri Paduka Baginda selepas istiadat pengurniaan darjah kebesaran negara di Istana Negara di sini hari ini.
Sultan Ibrahim turut menyentuh keakraban hubungan peribadi antara kedua-dua raja yang terbina hasil pengalaman masing-masing menjalani latihan ketenteraan, yang menurut Seri Paduka Baginda menjadikan persahabatan mereka lebih istimewa. – Alhijrah Online