
Gambar: AFP
KUALA LUMPUR: ASEAN digesa mengangkat semula konsep Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) sebagai agenda strategik utama rantau ini dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geo-ekonomi yang semakin kompleks.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Azizuddin Ahmad berkata, ZOPFAN bukan lagi sekadar warisan diplomasi ASEAN era Perang Dingin, tetapi kini menjadi keperluan penting bagi memastikan Asia Tenggara kekal aman, bebas dan berkecuali daripada pengaruh kuasa besar dunia.
Menurut beliau, rantau Asia Tenggara ketika ini berdepan persaingan kuasa besar, ketegangan maritim, tekanan ekonomi global serta ancaman keselamatan baharu yang boleh menggugat kestabilan serantau.
“ASEAN memerlukan kompas bersama yang mampu mempertahankan keamanan, kebebasan membuat keputusan dan neutraliti strategik rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, WADAH berpandangan ZOPFAN perlu diangkat semula sebagai agenda utama ASEAN 2026 menerusi tiga tonggak utama iaitu ‘Peace and Security Anchors, Prosperity Corridors dan People Empowerment’.
Katanya, ZOPFAN berperanan sebagai perisai diplomatik ASEAN bagi memastikan setiap pertikaian diselesaikan secara aman dan berasaskan rundingan, selain mengelakkan Asia Tenggara daripada menjadi medan persaingan kuasa besar.
Menurutnya, prinsip itu juga penting dalam menjamin kestabilan ekonomi serantau kerana rantau yang stabil, tidak berpihak dan bebas daripada tekanan blok kuasa besar mampu meningkatkan keyakinan pelabur, memperkukuh perdagangan serta memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat.
Dalam masa sama, beliau berkata ZOPFAN memperkukuh autonomi strategik ASEAN supaya negara anggota dapat menentukan hala tuju sendiri tanpa dipaksa memilih mana-mana paksi kuasa tertentu.
WADAH turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena peralihan kepengerusian ASEAN kepada Filipina yang menegaskan bahawa keamanan tidak boleh ditawar dan kerjasama erat penting bagi mengelakkan rantau ini terheret dalam persaingan kuasa besar.
Sehubungan itu, sempena sidang ASEAN di Cebu, Filipina, WADAH menyeru negara anggota ASEAN memperkukuh mekanisme pelaksanaan ZOPFAN melalui ASEAN Political-Security Community Blueprint 2026, menubuhkan High-Level Panel on Regional Neutrality serta mengintegrasikan prinsip tersebut dalam kerjasama ekonomi, keselamatan maritim, pembangunan serantau dan hubungan luar ASEAN. — AlHIjrah Online