
KUALA LUMPUR: Sejumlah 24,761 daripada 251,392 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2025 memperoleh keputusan Cemerlang (A) bagi semua sembilan mata pelajaran peperiksaan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata pencapaian Gred Purata Kebangsaan (GPK) UPKK 2025 secara keseluruhan pula ialah 1.83 mata berbanding 1.85 mata pada 2024.
“Daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki semua Kertas Peperiksaan, peratus calon yang mencapai tahap lulus keseluruhan UPKK 2025 adalah 89.61 peratus.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh calon UPKK Tahun 2025 atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan,” katanya dalam Majlis Pengumuman Keputusan UPKK bagi tahun 2025 di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI di Cheras, Kuala Lumpur.
Keseluruhan mata pelajaran yang dinilai adalah melibatkan komponen Pentaksiran Pusat yang merangkumi tujuh mata pelajaran (al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab dan Ibadah).
Manakala dua komponen Pentaksiran Bilik Darjah ialah Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) dan Amali Solat.
“Buat ibu bapa, hari ini bukan hari untuk menilai anak-anak, tetapi hari untuk anda memeluk dan cium mereka sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang selepas penat lelah dan air mata.
“Hargailah usaha mereka, bukan hanya angka di atas kertas. Keputusan peperikasaan bukan pengakhiran tetapi ia hanya satu langkah kecil dalam perjalanan menuntut ilmu dan membina kehidupan,” katanya.
Sementara itu, tambahnya Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026 – 2035 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu anjakan penting kepada landskap pendidikan negara.
Justeru, anak-anak adalah generasi pewaris ummah yang akan membentuk landskap masa depan negara. — AlHijrah Online