
HYDERABAD: Sektor halal Bangladesh yang sedang berkembang kini meneliti untuk menerima pakai sistem pensijilan halal Malaysia bagi meningkatkan eksport dan memperluas akses ke pasaran antarabangsa.
Sehubungan itu, delegasi perniagaan Bangladesh mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Sirajuddin Suhaimee di Kuala Lumpur pada Rabu bagi membincangkan kerjasama dalam industri halal.
Menurut Dewan Perniagaan dan Industri Bangladesh-Malaysia (BMCCI), pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pematuhan piawaian halal serta meneroka mekanisme pensijilan di Bangladesh dengan sokongan JAKIM.
“Kedua-dua pihak memberi tumpuan pada usaha mewujudkan laluan pematuhan yang jelas, meneroka mekanisme pensijilan halal di Bangladesh yang disokong JAKIM, serta membentuk rangka kerja tersusun bagi membantu pengeksport Bangladesh memenuhi piawaian ketat Malaysia dan antarabangsa,” menurut kenyataan BMCCI pada Khamis.
Delegasi berkenaan diketuai Presiden BMCCI, Mohammad Anwar Shahid dan turut disertai Naib Presiden, Mohammad Arfatur Rahman Apel serta Setiausaha Agung, Syed Moinuddin Ahmed.
Menurut organisasi perdagangan yang berpangkalan di Dhaka itu, kerjasama berkenaan bertujuan memperkukuh pencapaian sedia ada, termasuk pengiktirafan yang diberikan kepada Yayasan Islam Bangladesh bagi mengembangkan kapasiti pensijilan halal tempatan.
“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pencapaian sedia ada seperti pengiktirafan yang telah diberikan kepada Yayasan Islam Bangladesh bagi mengembangkan lagi kapasiti pensijilan tempatan,” menurut kenyataan itu.
BMCCI turut menegaskan pensijilan halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa merupakan keperluan penting bagi membolehkan perusahaan Bangladesh menembusi pasaran eksport global.
Dalam pertemuan itu, Sirajuddin mengetengahkan peluang kerjasama institusi antara Malaysia dan Bangladesh, termasuk bimbingan teknikal serta pembangunan kemahiran menerusi Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM, Lembaga Profesional Halal dan Akademi Halal Antarabangsa Malaysia.
Sementara itu, Anwar Shahid berkata BMCCI berhasrat memanfaatkan piawaian, keperluan audit serta rangka kerja pematuhan Malaysia bagi meningkatkan daya saing dan kewibawaan perusahaan Bangladesh.
Usaha berkenaan turut bertujuan membantu perusahaan negara itu bersedia mengeksport produk ke pasaran halal antarabangsa. — AlHijrah Online