Connect with us

ALHIJRAH NEWS

OMAN IKRAR LINDUNGI PELAYARAN DI SELAT HORMUZ, DESAK PENYELESAIAN IRAN-AS

DUNIA

OMAN IKRAR LINDUNGI PELAYARAN DI SELAT HORMUZ, DESAK PENYELESAIAN IRAN-AS

Oman komited untuk melindungi pelayaran melalui selat itu selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut.

Sumber Gambar: AFP

ISTANBUL: Oman berjanji pada Sabtu untuk terus menjaga pelayaran di Selat Hormuz sambil menggesa Iran dan Amerika Syarikat (AS) menyelesaikan pertikaian mereka menerusi penyelesaian politik yang berkekalan, lapor Anadolu Ajansi.

Berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-81 di New York, Menteri Luar Badr Albusaidi berkata konflik yang tercetus awal tahun ini dengan serangan AS-Israel ke atas Iran telah mengancam keselamatan serantau dan mengganggu perkapalan serta perdagangan melalui laluan air strategik itu.

Beliau berkata gangguan tersebut menjejaskan keselamatan tenaga, harga dan keyakinan dalam sistem antarabangsa.

Tambahnya, Oman komited untuk melindungi pelayaran melalui selat itu selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut.

Albusaidi menggesa semua pihak supaya bekerjasama dengan Muscat dalam usaha memastikan laluan di selat itu sambil menghormati kepentingan negara yang bergantung padanya.

Menteri luar itu juga menggesa Tehran dan Washington menyelesaikan proses pertikaian yang tertangguh dan meneruskan persefahaman politik yang boleh memberikan jalan keluar berkekalan daripada krisis itu.

Albusaidi menyuarakan solidariti dengan negara jiran mengenai langkah yang diambil untuk melindungi keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah mereka.

Mengenai Yaman, beliau mengulangi sokongan untuk penyelesaian politik yang memelihara perpaduan, kestabilan dan integriti wilayah negara itu.

Beliau menyeru semua pihak terlibat supaya berusaha ke arah perjanjian yang melindungi kedaulatan Yaman dan hubungan dengan negara jiran. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading