
Sumber Gambar: BERNAMA
DUNGUN: Bekas mudir sebuah maahad tahfiz direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan amang seksual terhadap tiga pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun dalam kejadian antara April hingga September tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata perintah reman sehingga Khamis itu dikeluarkan Majistret Ng Yan Ni selepas membenarkan permohonan pihak polis di Mahkamah Majistret Dungun hari ini.
Ketika dihubungi, beliau berkata permohonan reman itu bertujuan bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dijalankan.
Katanya lelaki berusia 26 tahun itu yang kini bertugas sebagai guru sambilan hafazan di sebuah sekolah agama di daerah itu ditahan di kediamannya di Paka kira-kira 11 malam tadi.
“Polis menerima tiga laporan berhubung kejadian itu semalam dan siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa merupakan bekas pelajar maahad berkenaan pada 2025,” katanya. — AlHijrah Online.