
PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan nombor rujukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan surat pengakuan nikah yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Rohingya Malaysia.
Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya masih belum menerima maklumat lengkap berhubung dakwaan berkenaan, namun siasatan akan dijalankan bagi mendapatkan penjelasan.
“Nanti kita siasat, saya tak dapat lagi maklumat berkenaan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) kali kedua 2026 di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu surat pengakuan nikah yang didakwa dikeluarkan oleh Majlis Ulama Rohingya Malaysia dengan memaparkan nombor rujukan “JAKIM.PERH/LN.800-7(5)”, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kaitan kod berkenaan dengan JAKIM.
Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tidak mengiktiraf surat yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Rohingya Malaysia sebagai dokumen yang sah.
JAIPk turut memaklumkan pernikahan melibatkan komuniti etnik Rohingya tidak boleh didaftarkan kerana membabitkan isu dasar yang masih diperhalusi oleh pihak berkuasa agama negeri.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata kerajaan mengambil maklum isu penyampaian ceramah agama tanpa tauliah menerusi platform media sosial, namun menjelaskan perkara itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang bertanggungjawab mengawal pentauliahan mengajar agama, termasuk memberikan tauliah kepada individu yang layak.
“Ada satu perkara iaitu (mengajar agama tanpa pentauliahan) secara online (dalam talian) itu, kita masih melihat bagaimana untuk mengambil perhatian perkara ini. Kerajaan masih meneliti pendekatan terbaik bagi menangani isu berkenaan kerana ia melibatkan aspek perundangan yang perlu diperhalusi.
“Pada peringkat jabatan, kita memang sentiasa memastikan bahawa mereka yang dijemput untuk ke udara dan sebagainya mempunyai tauliah,” katanya ketika ditanya mengenai kekangan penguatkuasaan yang dihadapi Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) dalam membanteras perkara itu.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kerajaan akan terus menyokong usaha menambah baik undang-undang syariah supaya kekal relevan dalam mendepani cabaran baharu, khususnya jenayah di alam siber. — AlHijrah Online