Connect with us

ALHIJRAH NEWS

AJAK AYAH SOLAT ISYAK, KENANGAN TERAKHIR SEBELUM MAUT DICAMPAK KE SUNGAI

DALAM NEGARA

AJAK AYAH SOLAT ISYAK, KENANGAN TERAKHIR SEBELUM MAUT DICAMPAK KE SUNGAI

Ajakan Putri Nur Afiyah Qalesya, 5, untuk menunaikan solat Isyak bersama bapanya menjadi kenangan terakhir keluarga sebelum kanak-kanak itu ditemukan maut di sungai selepas dipercayai dicampak oleh bapa saudaranya.

KOTA TINGGI: Ajakan Putri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, untuk menunaikan solat Isyak berjemaah bersama bapanya malam tadi menjadi kenangan terakhir keluarga sebelum kanak-kanak itu ditemukan maut selepas dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya.

Dalam kejadian di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik ditemukan dalam keadaan tertiarap di alur sungai yang cetek, kira-kira 300 meter dari kediamannya.

Nenek mangsa, Mahani Mad Som, 63, berkata cucunya menunjukkan kelakuan berbeza daripada kebiasaan pada malam sebelum kejadian apabila buat pertama kali mengajak bapanya menunaikan solat bersama-sama.

“Semalam, dia berkelakuan lain sangat daripada biasa. Dia minta nak makan Maggi dengan telur cair, lepas itu dia ajak ayahnya sembahyang Isyak bersama-sama, sedangkan sebelum ini dia tak pernah ajak ayahnya sembahyang sekali.

“Cucu saya memang budak yang sangat baik dan bijak. Kalau kita ajar apa-apa, dia cepat sangat tangkap,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya, hari ini.

Kehilangan cucunya disedari kira-kira jam 9 pagi selepas beliau selesai bersarapan dan mendapati kanak-kanak berkenaan tiada di buaian.

Beliau kemudian meminta bapa mangsa mencari anaknya di sekitar kawasan rumah sebelum mereka menemukan Putri Nur Afiyah Qalesya dalam keadaan tertiarap di alur sungai berkenaan.

“Hati saya rasa tak sedap apabila panggil dia dekat buaian tetapi tak ada sahutan. Kami terus cari dan jumpa dia dalam keadaan tertiarap. Ayahnya terus bergegas tarik dia keluar dari air,” katanya.

Menurut Mahani, kanak-kanak di kawasan itu tidak pernah pergi ke sungai berkenaan bersendirian kerana lokasinya jauh dari rumah dan perlu melalui kawasan kebun.

Tinjauan media mendapati laluan ke sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mangsa itu perlu melalui kawasan kebun tidak bertar.

Bapa saudara mangsa dilaporkan mempunyai sejarah masalah kesihatan mental dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Tampoi, selain dijadualkan mengambil bekalan ubat di Hospital Kota Tinggi pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata seorang suspek ditahan anggota Balai Polis Kuala Sedili selepas polis menerima laporan kira-kira jam 9.30 pagi mengenai seorang lelaki mengamuk sambil bersenjatakan parang.

Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading