Connect with us

ALHIJRAH NEWS

LELAKI ORANG ASLI MAUT DIBAHAM HARIMAU KETIKA CARI ROTAN

UTAMA

LELAKI ORANG ASLI MAUT DIBAHAM HARIMAU KETIKA CARI ROTAN

Seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau ketika mencari rotan di Hutan Simpan Korbu, Sungai Siput. Mangsa ditemukan tidak bernyawa dengan kesan gigitan pada tengkuk, manakala Perhilitan akan memasang perangkap harimau di kawasan berkenaan.

SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau ketika mencari rotan di kawasan hutan berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor, Hutan Simpan Korbu, petang Isnin.

Mangsa, Zamberi Angah, 42, yang memasuki hutan bersama seorang rakan ditemukan tidak bernyawa kira-kira jam 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak.

Pemeriksaan di lokasi menemukan kesan gigitan pada tengkuk mangsa serta kesan dimakan pada bahagian lutut kanan sehingga paras pinggang.

Siasatan di tempat kejadian turut menemukan kesan pergelutan, darah, serpihan pakaian dan tapak kaki harimau belang.

Jarak dari lokasi serangan ke tempat mayat mangsa ditemukan dianggarkan sejauh 200 meter.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, operasi pencarian dijalankan selepas menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Balai Polis Lintang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Pekerja balak dan kira-kira 30 penduduk kampung turut membantu dalam usaha mencari mangsa.

Mohd Zolkafly berkata, Perhilitan akan memasang perangkap harimau dalam masa terdekat bagi menangani ancaman haiwan liar berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan terbabit buat sementara waktu.

Perhilitan juga akan membantu waris mangsa mendapatkan Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading