
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) kepada umum akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, perkara itu dibangkitkan susulan kekeliruan serta dakwaan kononnya aset strategik TH telah dijual oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
“Saya ingin tegaskan dakwaan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan menjual aset strategik TH adalah tidak benar dan palsu. Apa yang berlaku sebenarnya ialah operasi menyelamat (bail out) institusi kewangan umat Islam yang terkesan akibat kerakusan penyelewengan dana pendeposit sebelum 2018,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Profesor Dr. Noor Inayah Ya’akub pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Menurut Zulkifli, penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB), merupakan keputusan kolektif Jemaah Menteri pada 2018.
Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia sebelum ini mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti institusi itu mencecah RM10.9 bilion pada tahun berkenaan.
Ketika itu kira-kira RM6 bilion simpanan turut dikeluarkan pendeposit dalam tempoh singkat susulan krisis keyakinan, manakala usaha mendapatkan pinjaman siap sedia (standby loan) gagal.
Kerajaan ketika itu berisiko menanggung liabiliti kira-kira RM74.5 bilion sekiranya TH runtuh kerana simpanan pendeposit dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.
Zulkifli berkata, langkah menyelamatkan TH terbukti berhasil apabila jumlah deposit meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.
Kadar agihan keuntungan turut meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus bagi 2025, iaitu yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun, manakala kos haji kekal selama tiga tahun berturut-turut bermula 2024 meskipun berlaku inflasi. — AlHijrah Online