
Foto: Harian Metro
MELAKA: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menganiaya anak kandung perempuan mereka yang berusia sembilan tahun sehingga menyebabkan kecederaan, bulan lalu.
Pengakuan tidak bersalah itu direkodkan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah terhadap pemandu lori berusia 36 tahun dan isterinya, 35 tahun, yang didakwa secara berasingan.
Lelaki itu didakwa melakukan penganiayaan fizikal terhadap anak sulungnya di sebuah rumah di Taman 1 Krubong, kira-kira pukul 7 malam pada 19 Julai lalu.
Isterinya turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan, khususnya mangsa.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan kekangan kewangan. Lelaki itu memaklumkan pendapatannya tidak menentu dan perlu menyara dua anak yang masih bersekolah, manakala isterinya berkata dia tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh lelaki diikat jamin RM10,000, manakala wanita itu RM9,000, berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan, dan menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam. — AlHijrah Online