
SHAH ALAM: Operasi menangkap anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain.
Beliau berkata, operasi itu menggunakan peralatan loop yang menepati piawaian kementerian, namun enggan mengulas dakwaan anjing dipukul kerana perkara itu masih dalam siasatan polis.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat memberikan komen (dakwaan anjing dipukul) kerana ia bergantung kepada laporan siasatan polis,” katanya kepada pemberita di Lobi Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menurut beliau, operasi berkenaan dijalankan susulan aduan berulang daripada penduduk dan pelajar yang mendakwa diganggu serta dikejar anjing liar, malah terdapat mangsa yang mengalami kecederaan.
“Ada mangsa yang (cedera) kritikal menyebabkan kita mengadakan operasi bersama penduduk untuk melaksanakan tangkapan anjing di kawasan berkenaan,” katanya.
Abd Hamid berkata, kecederaan pada anjing itu dipercayai berlaku ketika berlaku perebutan dengan seorang wanita yang pada awalnya mendakwa haiwan berkenaan miliknya sebelum memberikan kenyataan berbeza.
“Kalau ikut kenyataan awalnya, dia kata anjing tersebut miliknya, tapi akhirnya dia kata bukan pula. Jadi kita pun tak tahu. Oleh kerana perkara ini melibatkan siasatan polis, kita minta supaya pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dahulu dan tindakan seterusnya berdasarkan hasil siasatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan notis mengenai operasi tangkapan telah diedarkan kepada penduduk sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan.
Dalam pada itu, Abd Hamid berkata MBDK berdepan kekangan menangani isu anjing liar berikutan kekurangan anggota, kesukaran mendapatkan syarikat swasta untuk membantu operasi serta menerima kira-kira 50 aduan berkaitan anjing liar setiap bulan di kawasan Klang.