Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KEMATIAN ROCKY: ANTARA SOP, IHSAN DAN TANGGUNGJAWAB PEMILIK

DALAM NEGARA

KEMATIAN ROCKY: ANTARA SOP, IHSAN DAN TANGGUNGJAWAB PEMILIK

Pelbagai reaksi dan spekulasi timbul di mana ada pihak mempersoalkan kaedah tangkapan tersebut, malah ada juga yang mempertahankan tindakan penguatkuasaan susulan aduan penduduk.

KUALA LUMPUR – Kes kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky ketika operasi tangkapan pihak berkuasa tempatan di Klang, Selangor terus menjadi perdebatan ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Pelbagai reaksi dan spekulasi timbul di mana ada pihak mempersoalkan kaedah tangkapan tersebut, malah ada juga yang mempertahankan tindakan penguatkuasaan susulan aduan penduduk.

Ketika ini, kes tersebut masih dalam siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Prof. Madya Arie Dwi Andika berkata, penggunaan teknik jerutan atau looping dalam operasi tangkapan bukanlah satu kesalahan kerana kaedah itu terkandung dalam garis panduan serta pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Namun, beliau berpandangan komunikasi antara penguat kuasa dan pemilik haiwan perlu diperkukuhkan bagi memberi ruang kepada pemilik untuk membuat tuntutan semula atau bail out selepas tangkapan dilakukan.

Menurutnya, anjing yang dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan boleh dianggap sebagai haiwan terbiar dan menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan berlandaskan lunas undang-undang sedia ada.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar pertubuhan pencinta haiwan diberikan peranan lebih besar dalam membantu pengurusan haiwan terbiar termasuk aspek penjagaan dan pemulihan, sebagai pelengkap kepada usaha penguatkuasaan.

Sementara itu, Doktor Perubatan Veterinar, Dr. Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali menegaskan setiap operasi tangkapan haiwan perlu mengekalkan keseimbangan antara keselamatan manusia dan kebajikan haiwan.

Katanya, matlamat utama operasi bukan untuk mencederakan atau menyebabkan kematian haiwan, sebaliknya mengawal keadaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), menggunakan peralatan yang sesuai serta meminimumkan tekanan terhadap haiwan sepanjang operasi dijalankan.

Beliau turut mencadangkan latihan berkala kepada anggota penguat kuasa, selain SOP yang lebih komprehensif, didokumentasikan dan dipantau secara berterusan bagi memastikan setiap operasi dilaksanakan secara berperikemanusiaan.

Menurutnya lagi, kematian haiwan ketika operasi tangkapan bukan sesuatu yang lazim berlaku dan setiap insiden perlu dinilai secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar serta menambah baik prosedur sedia ada.

Kes Rocky menjadi peringatan bahawa isu haiwan berkeliaran bukan sekadar menyentuh soal kasih sayang terhadap haiwan, malah melibatkan tanggungjawab pemilik, keselamatan masyarakat serta pematuhan kepada undang-undang.

Siasatan oleh pihak berkuasa dijangka dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai insiden berkenaan serta menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran prosedur.–AlhijrahOnline


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading