
PUTRAJAYA: Semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya akan ditutup esok susulan situasi jerebu.
Penutupan turut melibatkan sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat dan Sepang di Selangor serta PPD Kuantan dan Rompin di Pahang.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, sekolah di Kuala Lumpur, Labuan, Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak pula akan beroperasi seperti biasa.
“Begitu juga sekolah di daerah lain di Selangor dan Pahang yang tidak terlibat dengan penutupan.
“Bagi sekolah yang beroperasi seperti biasa, pihak sekolah diminta memastikan aktiviti luar dipantau mengikut keadaan kualiti udara semasa,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Susulan keadaan itu, ibu bapa, murid dan warga sekolah dinasihatkan memakai pelitup muka yang bersesuaian apabila berada di luar, khususnya di kawasan terjejas akibat jerebu.
Semua pihak turut diminta mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Setakat jam 10 pagi hari ini, sebanyak 23 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Kota Tinggi, Johor merekodkan bacaan tertinggi 170. — AlHijrah Online