Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SERANGAN HOUTHI GEGAR ARAB SAUDI, PERJANJIAN PERTAHANAN MAKKAH DIAKTIFKAN

DUNIA

SERANGAN HOUTHI GEGAR ARAB SAUDI, PERJANJIAN PERTAHANAN MAKKAH DIAKTIFKAN

Ketegangan di Semenanjung Arab semakin kritikal susulan gelombang serangan berdarah oleh kumpulan pemberontak Houthi dari Yaman yang menyasarkan infrastruktur awam dan kemudahan strategik di Arab Saudi, sekali gus mengakibatkan angka korban yang tinggi serta melumpuhkan sebahagian operasi ekonomi.

Sumber: AFP

RIYADH: Ketegangan di Semenanjung Arab semakin kritikal susulan gelombang serangan berdarah oleh kumpulan pemberontak Houthi dari Yaman yang menyasarkan infrastruktur awam dan kemudahan strategik di Arab Saudi, sekali gus mengakibatkan angka korban yang tinggi serta melumpuhkan sebahagian operasi ekonomi.

Siri serangan yang bermula dari 6 hingga 7 Oktober lalu pada awalnya menyasarkan beberapa buah lapangan terbang di negara itu dan meragut tiga nyawa. Keadaan menjadi lebih dahsyat pada 8 Oktober apabila peluru berpandu Houthi membedil Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di sini, merosakkan sebuah pesawat komersial Saudia dan mengorbankan tiga individu termasuk seorang juruterbang tempatan.

Kemuncak ketegangan berlaku pada 10 Oktober menerusi gelombang serangan ketiga di lapangan terbang sama yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 nyawa dan mencederakan 309 yang lain, melibatkan warga tempatan serta pekerja asing. Sehari kemudian, fasiliti tersebut kembali menjadi sasaran dan meragut satu lagi nyawa.

Selain Riyadh, sasaran Houthi turut meluas ke lapangan terbang Abha, Dammam, serta kemudahan minyak strategik yang melonjakkan harga tenaga global.

Impak krisis ini amat ketara di ibu negara Arab Saudi itu apabila lebih 291 penerbangan terpaksa dibatalkan dan sesi persekolahan beralih ke dalam talian. Malah, masa depan pelan Wawasan 2030 kini terancam berikutan banyak acara antarabangsa berisiko dibatalkan.

Sebagai tindak balas, tentera gabungan pimpinan Arab Saudi melancarkan operasi besar-besaran memusnahkan lebih 130 sasaran Houthi di Yaman. Pada 9 Oktober lalu, “Operasi Fajar Yaman” turut dilancarkan bagi merampas semula Selat Bab el-Mandeb dan Marib.

Berdepan ancaman yang mampu menembusi pertahanan negara, Riyadh mengambil langkah mengaktifkan Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah yang dimeterai pada 7 Ogos lalu bagi membawa masuk sokongan ketenteraan dari Pakistan dan Turkiye. Perjanjian tersebut berpaksi pada klausa pencegahan kolektif di mana serangan bersenjata ke atas satu negara anggota dianggap sebagai serangan ke atas semua.

Susulan pengaktifan itu, tentera Pakistan kini sah ditempatkan di Arab Saudi dalam pelbagai domain. Manakala Turkiye yang memiliki kekuatan tentera kedua terbesar dalam NATO menyumbang bantuan teknikal dan kepakaran pertahanan udara bagi menangkis ancaman dron dan peluru berpandu Houthi, serta mengawal keselamatan pelayaran di Laut Merah.

Bagaimanapun, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan menegaskan bahawa penyertaan negara itu bersifat defensif, dan tiada tentera Turkiye akan dihantar bertempur secara langsung di wilayah Yaman.

“Apa yang saya perkatakan di sini adalah sebuah perjanjian pertahanan. Apabila sesebuah negara yang menganggotai perjanjian ini diserang, anda akan berdiri teguh untuk mempertahankannya.

“Ia sama sekali bukan sebuah perjanjian berbentuk serangan. Turkiye tidak akan menghantar pasukan tenteranya ke wilayah negara lain untuk melancarkan sebarang serangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain turut menyuarakan sokongan kepada Arab Saudi serta mengutuk keras serangan tersebut. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga menyatakan bahawa pentadbirannya sedang menilai kemungkinan untuk menyertai tindakan ketenteraan bersama Riyadh.

Walaupun pakatan tiga negara itu diuji sepenuhnya, penganalisis geopolitik merumuskan bahawa sokongan ketenteraan luar tidak akan mampu menamatkan perang ini secara muktamad. Selagi tiada penyelesaian politik yang jelas, konflik Yaman akan terus menjadi ancaman kekal di rantau berkenaan. – Alhijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

News Editor / Anchor

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading