
PUTRAJAYA: Semua pendakwah diseru untuk sentiasa menjaga adab dan memilih kata-kata yang baik ketika menyampaikan dakwah susulan isu seorang pendakwah Muslim yang menghamburkan kata-kata tajam terhadap individu tertentu di media sosial sehingga mencetuskan keresahan masyarakat.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Hasan Bahron menegaskan tindakan sedemikian tidak mencerminkan akhlak seorang pendakwah yang sepatutnya menjadi teladan kepada umat, selain mengingatkan bahawa setiap ucapan mampu memberi kesan besar kepada pendengar.
“Lidah adalah amanah dan setiap ucapan mampu membina atau meruntuhkan hati serta fikiran pendengar,” menurut beliau dalam sebuah kenyataan hari ini.
Menurut YADIM, dakwah hendaklah disampaikan dengan hikmah, rahmah serta kelembutan sebagaimana dituntut dalam Islam dan bukannya melalui kata-kata yang menyakitkan hati.
YADIM turut mengingatkan prinsip yang perlu dihayati oleh setiap pendakwah ialah, “Kita pendakwah, bukan penghukum,” sambil menegaskan pendakwah perlu menjadi cerminan akhlak mulia yang membimbing masyarakat dengan kasih sayang, bukannya menambah luka.
Pendakwah dan umat Islam perlulah meneladani sunnah Rasulullah SAW yang sentiasa memilih kata-kata yang baik, menenangkan dan mendidik kerana jika tidak ada perkara baik untuk diucapkan, diam adalah lebih baik. — AlHijrah Online